Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah. Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan akan memastikan penerima dari negeri-negeri yang dilanda banjir akan diberi keutamaan dalam proses penyaluran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan bersetuju pembayaran BR1M yang dijadualkan pada akhir Januari 2015, dipercepatkan mulai 15 Januari 2015 dan akan dibuat secara berperingkat.

"Kerajaan prihatin dan mengambil berat kesulitan yang dihadapi mangsa-mangsa banjir, khususnya penerima BR1M," katanya.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju permohonan dan pengemaskinian BR1M dilanjutkan sehingga 31 Januari 2015.

Menurutnya, pengemaskinian boleh dibuat melalui Portal Rasmi BR1M di alamat https//:ebr1m.hasil.gov.my atau boleh mengunjungi cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Pada masa yang sama, jika ada penerima BR1M yang meninggal dunia dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2014, waris boleh menuntut Takaful i-BR1M sehingga 31 Mac.

Tuntutan Takaful i-BR1M boleh dibuat dengan borang di www.malaysiantakaful.com.my atau hotline i-BR1M di 03-27162716 atau i-BR1M@takaful-ikhlas.com.my.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian 1800-88-2716 atau 03-8882 4565/4566 serta melalui emel br1m@treasury.gov.my.