Semalam
genap enam bulan sejak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua
anggota polis Unit Tindakan Khas, ketua inspektor Azilah Hadri dan
Koperal Sirul Azhar Umar, didengar di Mahkamah Persekutuan dalam kes
yang melibatkan kematian Altantuya Shaariibuu.
Bagaimanapun, belum ada keputusan oleh panel lima anggota yang diketuai
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengarnya di mahkamah
tertinggi negara itu.
Ini telah disahkan oleh Timbalan Peguamcara 1 Tun Abdul Majid Tun
Hamzah, dan peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah
dan Hasnal Rezua Merican yang mewakili Sirul.
"Sehingga kini, tiada tarikh ditetapkan," kata Tun Majid kepada Malaysiakini. Para peguam lain juga bercakap dengan Malaysiakini pada masa yang berlainan minggu ini.
Secara umumnya, hakim diberikan tempoh sehingga tiga bulan untuk menulis penghakiman mereka.
Bagaimanapun, Arifin ketika mengulas kes Liwat II terhadap Datuk
Seri Anwar Ibrahim berkata awal bulan ini bahawa para hakim harus diberi
tempoh masa yang munasabah untuk menyelesaikan penghakiman kerana
setiap kes berbeza.
Katanya, amalan standard bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan
ialah untuk melengkapkan penghakiman dalam tempoh tiga bulan selepas kes
didengar.
Beliau telah dipetik oleh Bernama
sebagai berkata dalam sesetengah kes, mahkamah (Mahkamah Rayuan dan
Mahkamah Persekutuan) akan mengambil masa yang lebih lama, mungkin
sehingga enam bulan untuk menyiapkan penghakiman itu - bergantung kepada
kerumitan kes.
Selain Arifin, hakim-hakim lain dalam panel lima anggota dalam kes
Altantuya itu adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard
Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid
Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.
Rayuan pihak pendakwaan didengar selama tiga hari pada bulan Jun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan