Selasa, 30 Disember 2014

Syor sidang khas Parlimen khusus bantu mangsa banjir

LOKE SIEW FOOK






Pada hari Ahad, 28 Disember 2014 yang lalu, saya bersama-sama Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Adun Selangor kawasan Balakong Ng Tien Chee, Adun Pahang kawasan Ketari Lee Chin Chen dan para sukarelawan telah menjalankan satu misi kemanusiaan untuk menghantar sumber air minuman dan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan.

Misi kami ialah untuk menghantar 2 kontena sumber makanan dan minuman dan stok tersebut sedang diurus dan diagihkan oleh PAS Kawasan Gua Musang dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Krai masing-masing kepada mangsa-mangsa di 2 kawasan tersebut yang terjejas teruk.

Memandangkan keadaan yang sangat teruk di Kuala Krai, kami akan menjalankan 2 misi lagi ke Kuala Krai pada 31 Disember 2014 dan 1 Januari 2015. Pada 31 Disember 2014, satu kontena barangan makanan yang telah dikumpulkan daripada orang ramai oleh DAP Selangor akan dihantar ke Bandar Kuala Krai untuk disampaikan kepada beberapa pertubuhan dan persatuan setempat dan seterusnya diagihkan oleh mereka kepada mangsa-mangsa di sana.

Pada 1 Januari 2015 pula, satu lagi misi bantuan akan dihantar ke Kuala Krai bersama dengan konvoi 4WD dari Pulau Pinang yang akan membawa banyak muatan barangan yang dikutip daripada orang ramai di Wisma DAP Pulau Pinang beberapa hari ini. Misi ini juga akan dihadiri oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin kanan parti serta beberapa Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam misi saya ke Kuala Krai pada tempoh hari, saya melihat dengan mata sendiri kemusnahan yang begitu teruk yang dialami di seluruh kawasan Parlimen Kuala Krai, dari Manek Urai sampailah ke Bandar Kuala Krai. Di sepanjang jalan dari Manek Urai ke Kuala Krai, ratusan kalau bukan ribuan rumah kampung yang musnah. Keadaan di sana seolah-olah Kuala Krai telah dilanda tsunami yang besar, bukannya banjir.

Saya dimaklumkan oleh mangsa-mangsa di sana bahawa bekalan elektrik, air dan talian telekomunikasi telah terputus selama seminggu. Ramai yang terpaksa bergantung kepada air hujan untuk terus hidup. Saya menyeru pihak Tenaga Nasional Berhad untuk memberikan laporan terkini berkenaan status bekalan elektrik di Kelantan dan bilakah bekalan dapat disambung semula di seluruh negeri.

Saya sempat meninjau Bandar Kuala Krai sebelum pukul 8 malam pada hari Ahad yang lepas dan keadaan di bandar tersebut seolah-olah ia sebuah bandar terbengkalai yang telah ditinggalkan dan lumpuh sepenuhnya. Ada sebahagian kawasan di bandar yang masih ditenggalami air. Banyak struktur jambatan pula mengalami kerosakan teruk. Seluruh bandar gelap gelita dan di seluruh Kuala Krai, hanya terdapat sebuah stesen minyak yang masih dapat beroperasi.

Semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Kelantan selepas pulang dari luar negara pada hari Sabtu lepas, beliau hanya sempat meninjau keadaan di Kelantan dari pandangan udara. Saya menyeru Perdana Menteri untuk turun ke Kuala Krai melalui jalan darat untuk melihat sendiri keadaan kemusnahan yang begitu teruk sekali.

Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir namun mekanisme pengagihan masih belum dimuktamadkan. Sekiranya RM500 juta ini diagihkan kepada lebih 220,000 mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan, secara puratanya seorang mangsa hanya mendapat bantuan sebanyak RM2 ribu. Sudah tentunya, bantuan ini tidak mencukupi untuk membantu mangsa yang menghadapi kemusnahan rumah kediaman mereka.

Ini tidak mengambil kira lagi peruntukan kewangan yang diperlukan untuk membina semula jambatan yang runtuh, jalan raya yang rosak dan membaiki cerun-cerun yang menghadapi tanah runtuh. Sudah tentu, kos pembinaan semula memakan perbelanjaan ratusan juta ringgit. RM500 juta pun mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan semula di negeri Kelantan sahaja.

Justeru itu, di atas kapasiti saya sebagai Ketua Whip DAP, saya menggesa Perdana Menteri untuk mengadakan satu Sidang Khas Parlimen pada awal bulan Januari 2015 supaya Dewan Rakyat dapat membincangkan langkah-langkah khusus untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan meluluskan Bajet Tambahan sekiranya perlu. Satu skim bantuan khas dan mekanisma untuk membantu mangsa untuk membina semula rumah kediaman mereka perlu dikaji dan dibincangkan oleh Ahli-ahli Parlimen.

Sidang khas ini juga dapat memberikan ruang kepada Ahli-ahli Parlimen terutamanya mereka yang mewakili kawasan-kawasan yang dibanjiri untuk menyuarakan pandangan dan pemasalahan di kawasan masing-masing. Walaupun kebanyakan kawasan yang terjejas dengan banjir kali ini tidak melibatkan kawasan-kawasan Parlimen yang diwakili oleh DAP, kami tetap prihatin dan memberikan sokongan penuh dan solidariti bersama semua mangsa yang terjejas.

Selain itu, Sidang Khas Parlimen akan memberikan satu peluang kepada kedua-dua pihak Kerajaan dan Pembangkang untuk menunjukkan bahawa kami Ahli-ahli Parlimen boleh mengenepikan sebarang perbezaan politik dan rakyat Malaysia yang kami wakili boleh bersolidariti dan bersatu-padu dalam menghadapi malapetaka ini seperti mana yang Parlimen Malaysia pernah tunjukkan dalam menangani krisis MH17 pada 23 Julai 2014. - HARAKAHDAILY 
 
(*)  Penulis ialah Ketua Whip DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban.

Tiada ulasan: