MALAYSIAKINI
Johor menjadi negeri terbaru dilanda banjir apabila dua daerah di negeri
berkenaan mula terjejas, manakala keadaan di Pahang, Terengganu, Kedah
dan Perak tidak banyak berubah, setakat tengah hari ini.
Di JOHOR, daerah Kluang dan Muar mula terjejas banjir dengan sebanyak
214 mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan mulai hari ini.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor berkata di Kluang,
sejumlah 201 orang termasuk empat bayi daripada 46 keluarga dipindahkan
ke empat pusat pemindahan manakala 13 penduduk di Bukit Kepong, Muar
dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan.
"Kesemua mangsa di Kluang ditempatkan di Balai Raya Kampung Paya
Palembang, Balai Raya Mardi, Mukim Renggam, Balai Raya Kampung Mengkibol
dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kencana. Penduduk di Bukit Kepong pula
dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan," katanya.
Beliau berkata paras air di lokasi terjejas banjir semakin meningkat.
Di KELANTAN, keadaan banjir yang semakin buruk menarik perhatian
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turun padang ke
negeri itu bagi meninjau situasi semasa bencana tersebut.
Muhyiddin mengarahkan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam
usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang kini
melebihi 32,000 orang.
Beliau turut mengarahkan agar bekalan barangan keperluan seperti makanan
ditambah di semua pusat pemindahan sementara (PPS) daripada tiga hari
kepada seminggu, antaranya bagi mengelak masalah kekurangan bekalan.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 31,001 orang
berbanding 30,147 pada sebelah pagi tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di
98 pusat pemindahan banjir di empat daerah.
Kebanyakan mangsa dari daerah Kemaman yang kini mencecah 21,381 orang,
diikuti Dungun (7,979), Kuala Terengganu (1,369) dan Hulu Terengganu
(272).
Besut merupakan daerah terbaharu pulih daripada banjir hari ini apabila
baki 317 mangsa di dua pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah
masing-masing.
Sehingga kini, beberapa jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan
termasuk Jalan Chukai ke Air Putih, Cheneh Mak Lagam dan Jalan Chukai
Utama.
Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 35,736 orang dengan kebanyakan
mereka di daerah Kuantan yang merekodkan sejumlah 19,924 mangsa, menurut
jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,119 orang berbanding
5,530 mangsa pagi tadi, membabitkan tiga kawasan di Kuala Kangsar, Hulu
Perak dan Perak Tengah.
Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir kini 2,914 orang, Kuala Kangsar (2,579) dan Hulu Perak (626).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan