Rabu, 31 Disember 2014

Semua sekolah JAIS bermula 12 Januari

 
Keputusan tersebut mengambil kira semua keadaan dan kesukaran pelbagai pihak yang terlibat dalam bencana banjir.


jawi2


PETALING JAYA : Semua sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memulakan sesi persekolahan tahun 2015 bermula pada 12 Jan 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyelaraskan semua sekolah di bawah JAIS dengan sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Keputusan ini mengambil kira semua keadaan dan kesukaran semua pihak yang terlibat dalam bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan beberapa kawasan di negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor amat bersimpati dan prihatin kepada keluarga yang terlibat dengan bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berharap sekolah-sekolah swasta dan agensi-agensi lain di Negeri Selangor dapat menyelaraskan permulaan persekolahan pada 12 Jan ini.

Tambahnya, keputusan itu diambil supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat seluruhnya.

Pada 29 Dis lalu, Kementerian Pendidikan bersetuju menangguhkan permulaan sesi persekolahan 2015 selama seminggu berikutan banjir yang melanda hampir seluruh negara pada masa sekarang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, pihaknya sangat mengambil berat masalah yang bakal dihadapi semua pihak termasuklah pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya sesi persekolahan dibuka mengikut jadual asal iaitu pada 4 dan 5 Januari 2015.

Beliau berkata, tarikh baru sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Jan 2015 (Ahad) manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Jan 2015 (Isnin).

Tiada ulasan: