Rabu, 31 Disember 2014

Selangor tubuh dana baiki kerosakan kediaman mangsa banjir Kelantan

Oleh: NAZLI IBRAHIM


KEMAMAN: Selangor menubuhkan dana khas bertujuan membantu mangsa banjir di Kelantan untuk membaiki kerosakan rumah masing-masing akibat banjir teruk, baru-baru ini.

Usaha itu adalah komitmen bersepadu Kerajaan Negeri selepas menghulurkan sumbangan banjir berjumlah RM1 juta dan bantuan kerja membersih pasca banjir kepada Kerajaan Kelantan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu diputuskan dalam perbincangan beliau bersama Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad.

IMG-20141230-WA0010“Pagi ini, saya berbincang dengan Datuk Iskandar Abdul Samad bagaimana kita dapat menjana satu dana bagi membaiki rumah yang musnah khususnya di Kelantan seperti Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah, Pasir Mas, Ketereh dan beberapa tempat yang perlu mendapatkan perhatian.

“Kita akan jana satu dana daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta. Setakat semalam, kita sudah mendapat suatu jumlah yang cukup baik dan kita akan lancarkan, pada 2 Januari ini.

“Kita akan umumkan pada hari Jumaat yang saya kira jumlahnya amat membanggakan,” kata Mohamed Azmin selepas meninjau beberapa perkampungan yang dilanda banjir di Bukit Mentok, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, antara yang menjadi keutamaan termasuk membaiki bumbung, dinding dan dapur untuk tempat memasak yang sempurna.

IMG-20141230-WA0009“Iskandar akan meneliti teknologi bagi kita meneliti membina segera bumbung, dinding dan dapur memasak,” katanya.

Azmin juga menyeru Kerajaan Persekutuan menghulurkan bantuan yang adil kepada semua negeri terlibat.

Menyentuh bantuan yang dihulurkan pelbagai lapisan masyarakat, Mohamed Azmin berkata, perbezaan idealogi tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada semua pihak untuk berkerjasama demi kepentingan rakyat.

Terdahulu, Kerajaan Selangor menghulurkan bantuan banjir berjumlah RM100,000 kepada Kerajaan Terengganu walaupun berbeza fahaman politik.-NFN-

Tiada ulasan: