Kelihatan staf Kumpulan Media Karangkraf sedang bertungkus-lumus menyusun barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh HAIRUDIN HAMDAN Kelihatan staf Kumpulan Media Karangkraf sedang bertungkus-lumus menyusun barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh HAIRUDIN HAMDAN
 
 
KUALA LUMPUR – Pas menyarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengubah prosedur operasi standard (SOP) dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir kali ini.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, perkara itu penting kerana tidak semua mangsa banjir berada di pusat pemindahan yang disediakan seterusnya didaftarkan untuk layak menerima bantuan.

“Tetapi banjir kali ini, MKN tidak boleh gunakan SOP itu, kerana air naik terlalu cepat. Jika ada antara mereka yang tidak sempat mendaftar dan terperangkap dua tiga hari sama ada di atas bumbung di rumah mereka atau mereka terpaksa lari ke bukit, adakah perlu pakai SOP itu?

“Jadi untuk banjir kali ini, MKN perlu melihat kembali SOP itu. Tidak perlu kita beri bantuan ikut daftar atau tidak,” katanya kepada media.

Beliau mengulas keluhan sesetengah mangsa banjir yang tidak berada di pusat pemindahan dan tidak didaftar sebagai mangsa banjir oleh MKN menyebabkan mereka tidak layak menerima bantuan yang disalurkan.

Beliau yang juga Pengerusi Pengurusan Kecemasan Bencana Pas berkata, apa yang penting MKN perlu mendapatkan sendiri maklumat daripada penguasa tempatan, seperti penghulu untuk melihat rumah mangsa.

“Lihat sendiri kemusnahan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, daripada keluarkan kenyataan yang tidak daftar tidak dapat bantuan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap, kerajaan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mangsa banjir yang kehilangan dokumen penting.

“Saya harap kerajaan buat keputusan untuk tidak kenakan sebarang bayaran kepada mangsa banjir,” katanya.

Sebelum itu, Salahuddin mengumumkan misi bencana Pas dimulakan dengan jumlah sumbangan diterima sebanyak RM100,000.