“Saya tak nak masjid dijadikan macam rumah. Masjid perlu dikekalkan kemasjidannya,” katanya
ketika dihubungi mStar Online bagi mengulas cadangan badan bukan kerajaan (NGO), Pertiwi Soup Kitchen supaya masjid di sekitar Kuala Lumpur mempertimbangkan untuk menyediakan ruang bagi menempatkan kemudahan seperti mesin basuh dan pengering baju buat golongan gelandangan.
Zulkifli berpendapat bahawa cadangan itu akan menimbulkan kebimbangan mengenai longgokan baju-baju kotor dan kesulitan di kalangan pengguna lain untuk menggunakan kemudahan-kemudahan di masjid.
“Saya bimbang sekiranya perkara ini berlaku, akan ada longgokan baju-baju kotor di masjid. Itu belum lagi, orang ini datang tunggu basuh baju, orang itu longgok baju.
“Mungkin ruang yang ada hendak digunakan untuk pengguna masjid nak mengambil wuduk. Kita mahu masjid dijadikan tempat bersolat dan aktiviti keagamaan,” katanya.
Beliau menambah, masjid-masjid di Kuala Lumpur terutama pada setiap Jumaat akan dipenuhi dengan umat Islam untuk bersolat.
Mstar Online pada Selasa melaporkan Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid mencadangkan supaya ruang untuk menempatkan kemudahan mesin basuh, pengering baju dan lokar menyimpan barang buat golongan gelandangan dapat disediakan di masjid-masjid di sekitar ibu negara.
Mengulas lanjut, Zulkifli berpendapat bahawa NGO tersebut boleh memikirkan cara lain yang lebih munasabah dalam soal kebersihan pakaian gelandangan.
Sebagai contoh katanya, NGO boleh menyediakan baju-baju lain untuk gelandangan sementara baju mereka dibasuh menggunakan khidmat dobi pada harga berpatutan.
“Sebelum NGO sediakan baju yang lain kepada gelandangan ini, mereka boleh tandakan baju-baju dari segi kuantiti yang diberi. Dobi ini boleh dibuat menerusi ejen-ejen pada harga yang berpatutan,” kata Zulkifli.
Bagaimanapun Zulkifli berkata, gelandangan beragama Islam yang datang ke masjid untuk tujuan bersembahyang, berwuduk dan menggunakan kemudahan untuk membersihkan sedikit diri tanpa membazir air dan mengotori kawasan dialu-alukan kerana ia merupakan hak ke atas mana-mana orang Islam.
“Ini tidak menjadi masalah, insyaAllah. Cuma, sepatutnya jagalah adab-adab berada di masjid tanpa mengotori dan mencemarkan imejnya,” katanya.
Mengenai kemudahan gelandangan untuk mandi, Zulkifli berkata, perkara itu boleh dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang lebih memahami tentang-tentang dasar-dasar berkaitan dengan masjid.
Katanya, rujukan itu termasuk cadangan Pertiwi Soup Kitchen agar ruang disediakan untuk menempatkan lokar bagi gelandangan menyimpan barang peribadi mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan