Jumaat, 26 Disember 2014

Fitnah bakar gereja cubaan provokasi – PERKASA

 
Fitnah terhadap kami yang mana ia bertujuan mendatangkan kemarahan penganut-penganut Kristian negara ini.


Perkasa-secretary-general-Syed-Hassan-Syed-Ali


KUALA LUMPUR: Tindakan pemilik laman Facebook dikenali ‘Ayahnda Raja Provokasi’ yang mendakwa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membakar sebuah gereja di Jalan Raja Laut tidak menjejaskan perjuangannya membela hakBumiputera.

Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali berkata, tindakan tersebut hanyalah provokasi pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa membenci perjuangan pertubuhan Melayu itu melalui fitnah.

“PERKASA menafikan perkara tersebut malah amat kecewa dan marah dengan fitnah terhadap kami yang mana ia bertujuan mendatangkan kemarahan penganut-penganut Kristian negara ini.

“Mereka yang tahu perjuangan PERKASA tidak akan percaya dengan dakwaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

Sementara itu BERNAMA melaporkan, polis menafikan maklumat yang tersebar di laman Facebook (FB) kononnya sebuah gereja di Jalan Raja Laut di sini diserang dan dibakar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi menegaskan ia maklumat palsu dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun laman sosial yang menyebarkannya.

“Tidak benar. Kita akan ambil tindakan ke atas pemilik (akaun) Facebook ini,” katanya.

Pemilik akaun itu yang menggunakan nama ‘Ayahnda Raja Provokasi’ mendakwa insiden itu melibatkan PERKASA selain turut memuat naik sekeping gambar.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya atau menyebar atau berkongsi maklumat palsu seumpama itu kerana ia tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan kehidupan harian masyarakat,” kata Khalid.

Syed Hassan menjelaskan, hubungan PERKASA dengan penganut Kristian tidak menghadapi masalah kerana mereka juga memahami perjuangan pertubuhan itu, malah yang menghubungi dan meminta supaya laporan polis dibuat terhadap Ayahanda Raja Provokasi.

“PERKASA sebelum ini juga mempertahankan hak penganut agama Kristian bumiputera termasuklah Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, gambar yang didakwa insiden membakar gereja sebenarnya protes yang dilakukan Wira PERKASA yang membantah tindakan pihak Yahudi bertindak kejam terhadap penduduk Palestin tiga tahun lalu.

Tiada ulasan: