MALAYSIAKINI
Projek tebatan banjir di seluruh negara akan menjadi antara keutamaan
dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) sebagai langkah untuk
mengatasi bencana banjir pada masa akan datang, kata Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Perdana Menteri berkata jabatan-jabatan yang berkenaan akan diminta
mengemukakan laporan dan kajian sebelum perinciannya dapat ditentukan.
"Tentu sekali kita kena minta laporan daripada jabatan-jabatan berkenaan
(dahulu) dan masa yang paling awal (pelaksanaan projek) adalah dalam
tempoh RMK-11 nanti.
"Dengan berlakunya banjir di beberapa buah negeri secara serius kali
ini, sudah tentu keperluan projek-projek tebatan banjir perlu diberi
keutamaan yang lebih tinggi dalam tempoh RMK11, namun ia bergantung
kepada kewangan kerajaan," katanya. RMK11 bermula pada 2016.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas taklimat
pengurusan banjir Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Majlis Pembandaran
Kemaman dan meninjau keadaan banjir di bandar Cukai, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman,
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang
juga anggota Parlimen Kemaman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri
Zulkifli Zainal Abidin.
Najib berkata ini berikutan banjir yang berlaku di beberapa negeri
begitu serius dan ternyata sistem tebatan banjir sedia ada belum
berkesan sepenuhnya.
Katanya kerajaan perlu melihat terlebih dahulu kemampuan kewangan negara
kerana satu tebatan banjir akan memakan kos ratusan juta ringgit dan
membabitkan kawasan yang dikenal pasti berisiko di seluruh negara.
Terdahulu, Perdana Menteri diberi taklimat oleh Anggota Dewan Undangan
Negeri Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar tentang keadaan semasa
banjir di Kemaman.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan