Isnin, 29 Disember 2014

Macam tsunami yang landa Aceh - mangsa banjir

ASLANI M






KUALA KRAI: 'Tsunami kecil' yang membadai Kelantan sejak Isnin menyebabkan suasana jadi agak kalut.

Paling terkesan di Kuala Krai dan Gua Musang di mana ramai mangsa banjir kehilangan tempat tinggal.

Kampung Manek Urai dan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Galas di Gua Musang paling terjejas apabila banyak rumah hanyut dan rosak teruk.

Mangsa banjir yang pulang ke rumah selepas bah surut terkejut besar sehingga ada dalam kalangan mereka hampir pengsan.

Ramai mangsa yang ditemui melahirkan rasa terkejut dan sebak kerana tidak menjangka sama sekali bencana yang paling besar dalam sejarah Kelantan itu.

Sisa-sisa runtuhan rumah boleh dilihat di sana sini di Kampung Manek Urai Lama.

"Kampung kami seolah-olah menjadi padang jarak padang tekukur seperti tsunami yang melanda Aceh pada 2004," kata seorang penduduk, Norma Yusof, 56.

Kelihatan sisa-sisa peralatan rumah tersandar di pagar Masjid Kampung Manek Urai Lama dan berhampiran padang awam majlis daerah Dabong.

Suasana kelam kabut hari ini juga dapat dilihat apabila stesen minyak di Batu 2 Jalan Kuala Krai dan Mulong penuh sesak dengan kenderaan yang terpaksa beratur panjang sehingga ke jalan raya.

Mangsa banjir juga mendakwa mereka terputus bekalan ketika banjir memuncak Rabu dan Khamis lepas kerana tidak sampai.

Mangsa banjir di Kampung Manek Urai terpaksa menyelamatkan diri di tempat lebih tinggi termasuk di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama, Klinik Kampung Baru Manek Urai dan Bukit Kajang.

Bantuan hanya sampai di tempat pemindahan pada hari Jumaat, apabila makanan dibawa oleh pelbagai pihak dari Kuala Lumpur.

Hubungan jalan darat dari Kota Bharu ke Kuala Krai masih terputus sehingga tengah hari ini kerana jalan ditenggelami di Sungai Durian. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: