Isnin, 29 Disember 2014

Anwar : Bertindak sebagai satu pasukan

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Seluruh jentera parti KEADILAN di seluruh negara diarah membantu dalam usaha pengagihan barangan keperluan serta kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan yang terlibat dengan bencana banjir di lima buah negeri.

Seruan ini dibuat Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim yang menyifatkan bencana banjir besar kali ini merupakan antara yang paling buruk dalam sejarah Malaysia.

Sehingga kini lebih 220,000 orang terlibat dan Kelantan negeri yang paling teruk terjejas.

Anwar_IbrahimAnwar juga memuji sikap rakyat Malaysia yang tidak mengenal usia, jantina, kaum mahupun perbedaan politik dalam menghulur bantuan dalam bentuk dana, barangan keperluan, dan tenaga.

“Saya telah berhubung dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dan meminta beliau memberikan bantuan sebanyak yang mampu.

Saya menggesa agar semua pihak bertindak sebagai satu pasukan, dan menyokong langkah Kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani bencana ini, serta menggesa agar diluluskan peruntukan segera untuk makanan dan ubat-ubatan, terutama untuk kawasan-kawasan kritikal,”kata Anwar.

Dalam kenyataan yang sama, Anwar mengusulkan supaya Kerajaan Pusat menyediakan satu rancangan yang menyeluruh untuk memperbaiki atau membangunkan semula rumah-rumah yang telah musnah akibat banjir besar ini.

“Saya, Azizah dan seluruh keluarga KEADILAN terus memanjangkan doa kepada Allah SWT agar bencana ini akan reda, dan diringankan beban yang dialami semua yang terkesan,”kata Anwar

Tiada ulasan: