KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) telah menubuhkan Pusat Operasi Banjir (POB) DUPP dalam usaha menggerakkan misi bantuan daripada kalangan anggotanya dan masyarakat ke daerah banjir seluruh negara.
Ia diketuai Pengerusi Lajnah Kebajikan DUPP, Dr Abu Bakar Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana DUPP dan Ketua Penerangan DUPP, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri selaku Pengarah POB DUPP.
Dengan kekuatan skuad 30 petugas bersama sembilan pacuan empat roda dan dua kereta, misi pertama telah bergerak mengagihkan bantuan makanan bernilai lebih RM30,000 ke Dun Pasir Pekan, Tumpat pada 27 Disember lalu.
Misi bantuan tersebut turut menyerahkan sumbangan kepada Adun Tawang, Datuk Hassan Mahmood yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan sekaligus membuka POB DUPP bagi negeri Kelantan di Dun Tawang, Bachok pada hari sama.
Pada misi tersebut, skuad berkesempatan meninjau keadaan banjir berhampiran penempatan sekitar Jambatan Sultan Yahya Petra dengan menaiki bot iaitu hampir kebanyakan rumah ditenggelami air hingga ke paras bumbung.
Skuad turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa keluarga mangsa banjir yang masih bertahan di tingkat dua rumah masing-masing.
Pada keesokan harinya, skuad telah bergerak ke Chukai, Kemaman mengagihkan bantuan sebelum ke Kelantan semula menghantar bantuan untuk Dun Mengkebang di bawah seliaan Ustaz Ab Latif Abdul Rahman.
Sebanyak tiga POB DUPP ditubuhkan iaitu di Dun Tawang; Kolej Universiti Zulkifli Muhammad, Gombak dan Maahad Tahfiz wa Tarbiyah, Tok Jiring, Terengganu setakat 29 Disember.
Sehubungan itu orang ramai diseru menghulurkan keprihatinan dan amal jariah dengan menghulurkan sumbangan ikhlas berupa barangan keperluan harian atau terus ke akaun CIMB nombor 8601765212 atas nama Tabung Kebajikan Dewan Ulamak PAS Pusat dan sumbangan ke akaun boleh dimaklumkan untuk rekod ke 013-746 0000.
Sementara itu Datuk Dr Mohd Khairudin dalam ulasannya berkata, banjir di Dun Pasir Pekan dan Kota Bharu bukan kerana taburan hujan lebat, tetapi kerana limpahan air sungai Kelantan yang datang dari ulu sungai.
“Limpahan air menenggelamkan kawasan sangat luas dan agak jauh daripada sungai sehingga rumah yang sebelum ini tidak pernah menghadapi banjir (turut) ditenggelami sehingga ke bumbung.
“Di sinilah terserlahnya kekuasaan Allah yang di luar kemampuan manusia untuk mengatasinya. Maka ia mengajak seluruh rakyat dan manusia kembali kepada Allah dengan memohon keampunan-Nya seterusnya berdoa agar Allah segera menyelamatkan kita semua,” ujarnya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan