Rabu, 31 Disember 2014

IMBASAN 2014: Kehilangan Tidak Mungkin Dapat Diganti

Oleh: KEMALIA OTHMAN
 
 

Allahyarham Mustapha Maarof dikebumikan bersebelahan pusara isterinya, seniwati Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
 
 
 
PETALING JAYA: Dunia hiburan sepanjang 2014 turut berasa sedih pemergian insan seni yang benar-benar berjasa dalam kerjaya seni yang sukar dicari ganti.

Mudah-mudahan mereka beroleh rahmat daripada Allah. Al-Fatihah


1. Datuk Ali Mamak
Meninggal dunia : 27 Mac 2014 (63 tahun)

Pelawak dan penyanyi veteran, Datuk Ali Mamak atau nama sebenarnya Osman Jantan meninggal dunia pada pukul 4.20 pagi Khamis, 27 Mac lalu.

Allahyarham yang mula dikenali pada era 80-an melalui sitkom Santan Berlada menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kerana kanser tahap kedua.

Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka berkecimpung dalam bidang seni hampir 25 tahun dan dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah keluarganya di Dusun Tua, Batu 16, Hulu Langat dan dikebumikan sebelum solat zuhur pada 27 Mac lalu.




2. Taufik Latif
Meninggal dunia : 17 April 2014 (69 tahun)

Pengacara terkenal era 70-an dan 80-an, Taufik Latif meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada malam 17 April lalu akibat serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Allahyarham yang merupakan bekas pengacara pertandingan Bakat TV pertama di RTM pada awal tahun 1970-an meninggalkan seorang anak, Anisah Taufik, 35.

Allahyarham berasal dari Gombak, Selangor merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor.


3. Sidek Hussein
Meninggal dunia : 28 April 2014 (63 tahun)

Pelakon Sidek Hussein meninggal dunia pukul 11.55 malam Ahad pada 28 April lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat barah leher.

Ketumbuhan yang mencapai berat dua kilogram itu mula muncul ketika berusia 20-an lagi. Selain kanser, Allahyarham turut menghidap penyakit jantung dan paru-paru yang menyukarnya membuat pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sebiah Sulaiman dan lima anak. Allahyarham adalah pelakon veteran sejak era televisyen hitam putih dan memulakan kerjaya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar 1970-an.

Terkenal dengan watak jahat dalam filem dan drama lakonannya, Sidek mula dikenali selepas membawa watak utama dalam filem Toyol diikuti filem Potret Maria.

Pada 2011, Allahyarham Sidek menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Festival Filem Malaysia ke-24 serta Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin.

Jenazah dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Selangor, pada 29 April 2014.


4. Kartina Dahari
Meninggal dunia: 30 April 2014 (73 tahun)

Penyanyi Kartina Dahari, meninggal dunia di Singapura pada petang 30 April 2014 akibat penyakit barah payudara.

Kali terakhir Allahyarham membuat persembahan untuk peminatnya di Konsert Sayang Di Sayang terbitan Esplanade Teater Di Pesisiran sempena Pesta Raya 2013.

Terkenal dengan jolokan ‘Ratu Keroncong’, Allahyarham juga merupakan penyanyi Melayu pertama yang  merakamkan album berbahasa Inggeris di Singapura.

Antara lagu keroncongnya yang evergreen ialah Sayang Di Sayang dan lagu duetnya bersama Allahyarham Datuk Ahmad Jais seperti Budi Setahun Jagung dan Sejak Kita Berpisah.

Beliau meninggalkan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki iaitu Adlin Adnan, Shah Reza dan Noor Indera, berusia antara 41 dan 51 tahun.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Lim Chu Kang, Singapura.
 

5. Adam Ahmad
Meninggal dunia: 15 Mei 2014 (50 tahun)

Penyanyi dan komposer, Adam Ahmad meninggal dunia di Hospital Ampang akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah jangkitan kuman pada paru-paru kira-kira pukul 12.15 malam.

Allahyarham pernah popular pada era 80-an dengan lagu nyanyian dan ciptaannya iaitu Kau Pergi Jua dan Berdiri Seorang Perindu. Lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh Aisyah iaitu Janji Manismu juga pernah memenangi Anugerah Muzik-Muzik.

Allahyarham meninggalkan isteri yang bernama Norliza.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai Ampang sekitar pukul 11.30 pagi Khamis pada 15 Mei lalu.

 
6. Datuk Aziz Satar 
Meninggal dunia: 6 Mei 2014 (89 tahun)

Pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang pada kira-kira jam 2 pagi  pada 6 Mei lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucu.

Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia adalah rakan seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin yang popular menerusi filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok.

Siri filem Bujang Lapok sememangnya segar dalam ingatan peminat filem Melayu sehingga ke hari ini. Selepas tamatnya era filem Jalan Ampas, Allahyarham mengarah filem pertamanya iaitu Keluarga Si Comat pada 1975.

Allahyarham kemudian diberi kepercayaan mengarah filem seperti Si Badol, Prebet Lapok, Penyamun Tarbus, Setinggan, Tujuh Biang Keladi, Ok dan Adik yang sekali gus turut melahirkan nama besar dalam dunia komedi seperti AR Badul dan Mr Os.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak, 19 cucu, lima cicit dan seorang balu.

Jenazah dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Cheras.


7. Datuk Sharifah Aini
Meninggal dunia: 5 Julai 2014 (61 tahun)

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini meninggal dunia pada awal pagi Sabtu, 5 Julai 2014 di Pusat Perubatan Pakar Damansara.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.26 pagi akibat fibrosis paru-paru atau 'paru-paru berparut'.

Allahyarham meninggalkan seorang anak, Aliff Omar.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat sini pada Sabtu.

Allahyarham menjadi artis selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam. Dia kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan label itu selama 38 tahun.

Pernah merakamkan 93 album termasuk 7 album Inggeris, antara lagu popularnya Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kau Tinggi Di Awan Biru.

Penyanyi itu juga pernah berkolaborasi dengan beberapa penyanyi terkenal antaranya Latif Ibrahim, Broery Marantika dan Sudirman Haji Arshad.

Selain menyanyi, beliau pernah berlakon dalam filem Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan, Diva Popular dan kemunculan terakhirnya dalam filem Penanggal, tahun lalu.

Hasilnya, nama beliau terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album.

Sharifah Aini menerima gelaran Biduanita Negara pada 2006.

Gambar Allahyarham Jamil Sulong bersama isterinya Rosnani Jamil (tengah) dan teman seangkatan dengan mereka, Datuk Maria Menado pada satu majlis pada tahun 2012.

8. Datuk Jamil Sulong
Meninggal dunia: 25 September 2014 (88 tahun)

Pengarah filem Datuk Jamil Sulong meninggal dunia pada 25 September akibat serangan angin ahmar.

Jamil merupakan anak Melayu yang ketiga yang diberi kepercayaan mengarahkan filem Melayu di Malay Film Productions, Singapura selepas P.Ramlee dan Haji Mahadi.

Filem pertamanya Batu Belah Batu Bertangkup dihasilkan pada tahun 1957 diikuti dengan filem klasik Si Tanggang dan Lela Manja.

Allahyarham merupakan pengarah filem Melayu yang kedua paling banyak mengarah filem, namun filem-filem beliau yang telah merangkul anugerah filem paling banyak di persada antarabangsa.

Antara filem-filemnya yang terkenal termasuk Bidasari, Raja Bersiong, Gerak Kilat, Jiwa Remaja, Sayang Anakku Sayang, Jasmin, dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Beliau yang juga suami kepada seniwati Datuk Rosnani Jamil, berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Allahyarham meninggalkan empat anak, Murniaty Jamil, Arjunaidi Jamil, Dr Anwardi Jamil dan Asnadi Jamil.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Pahang.



9. Datuk Mustapha Maarof
Meninggal dunia: 15 Disember 2014 (79 tahun)

Seniman Datuk Mustapha Maarof meninggal dunia di Hospital Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju kira-kira pukul 8.50 pagi, pada 15 Disember lalu akibat jangkitan paru-paru.

Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azhari Maarof yang juga suami kepada Allahyarhamah Roseyatimah itu dikenali dengan filem seperti Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Seri Mersing dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Allahyarham memulakan kerjaya seninya pada 1953. Sebelum menikahi Roseyatimah pada 1967, Mustapha pernah memperisterikan pelakon jelita, Suraya Harun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Suzlynna.

Allahyarham adalah anak kepada peguam Melayu, Maarof Zakaria yang mengasaskan Bank Kebangsaan Melayu pada 1947 dan nama Jalan Maarof di Bangsar   inamakan sempena bapa Allahyarham.

Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas Zuhur berdekatan pusara isterinya, Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpu

Tiada ulasan: