KUALA LUMPUR: Sepuluh stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad di
Pantai Timur tidak dapat beroperasi akibat ditenggelami air disebabkan
banjir kuat yang melanda kawasan itu.
Pengerusi KTM Berhad Datuk Nawawi Ahmad berkata kesemua stesen yang
terlibat ialah Chegar Perah, Merapoh, Gua Musang, Limau Kasturi, Bertam
Baharu, Kemubu, Dabong, Bukit Abu, Manek Urai dan Krai.
"Disebabkan perkhidmatan intercity yang masih terganggu, para penumpang
boleh menukar semula tarikh perjalanan atau pun mendapatkan pemulangan
tambang penuh untuk perjalanan yang dibatalkan," katanya dalam sidang
akhbar di sini, Jumaat.
Nawawi berkata lapan perkhidmatan tren di kawasan Chegar Perah hingga
Tumpat dibatalkan sejak 22 Disember lepas, melibatkan perkhidmatan tren
Intercity iaitu tren shuttle No. 70, 71, 72, 73.
Turut terlibat, tren ekspres No. 26, 27, 28 dan 29 iaitu Ekspres Wau dan Ekspres Senandung Timuran, katanya.
Nawawi berkata sistem mekanikal kereta api yang turut terjejas
merangkumi lapan lokomotif, 19 koc, satu buffet (katering) serta empat
generator dan dijangka mengambil masa lama untuk dibaik pulih.
Namun, katanya, kos kerugian dan baik pulih masih belum dapat diketahui
kerana perlu melakukan proses penganalisis secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Nawawi berkata KTM Berhad turut
menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,500 serta bekalan makanan kepada 177
kakitangannya yang terlibat banjir demi memastikan kebajikan mereka
terus terjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan