KDN akan meneliti Akta Bayaran sekiranya terdapat klausa tertentu yang membenarkan denda
PUTRAJAYA : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya bercadang untuk mengenakan denda kepada rakyat Malaysia yang kehilangan pasport disebabkan kecuaian.
Beliau berkata berikutan itu, kementeriannya akan meneliti Akta Bayaran sekiranya terdapat klausa tertentu yang membenarkan tindakan tersebut dilakukan.
“Sekiranya tiada klausa terbabit kita akan membawa cadangan ini ke Parlimen untuk pindaan akta. Perkara ini adalah bagi memperketatkan peraturan untuk memastikan pasport itu tidak hilang,” katanya pada sidang medianya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bertemu Pembantu Setiausaha Jabatan Keselamatan Luar dan Hubungan Antarabangsa Amerika Syarikat, Alan Bersin di pejabatnya.
Zahid mengingatkan suapaya rakyat Malaysia lebih berhati-hati agar tidak kehilangan pasport mereka.
Beliau berkata, sekiranya kehilangan pasport, individu terbabit harus melaporkan kepada polis dalam tempoh 24 jam.
“Kita akan gunakan pendekatan, kehilangan pasport mesti dilaporkan kepada polis secara wajib,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan