Ibarat sebuah rumahtangga, tidak guna berpangkat profesor, berceramah di sana-sini, tetapi 'rumah tangga' sendiri tidak terurus
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) perlu bijak menguruskan “anak-anak” ini agar menjadi rakyat yang terdidik dan baik.
Merujuk kepada isu UM8, Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Jayum Jawan berkata, mereka perlu diajak berbincang dan bukannya dihukum.
“UM8 adalah budak-budak. Mereka ibarat ‘anak-anak’ kita. Jika ‘anak-anak’ kita melakukan kesalahan, apakah kita akan hukum mereka. Lebih baik kita hulur tangan dan ajak ‘anak-anak’ ini berbincang supaya masalah dapat diselesaikan,” katanya sewaktu dihubungi Free Malaysia Today.
Jelasnya lagi, Universiti Malaya sebagai ibu bapa, perlu bijak menguruskan hal ini.
“Tidak guna mempunyai pangkat profesor, berceramah di sana-sini, tetapi ‘rumah tangga’ sendiri tidak terurus,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, portal Malaysiakini melaporkan, Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol mendakwa, MPN sepatutnya menegur pentadbiran UM dan bukannya menjadikan siswa sebagai sasaran kritikan.
Fahmi turut mempersoalkan kewibawaan MPN yang didakwanya tidak bermutu kerana hanya menjadi “alat” kepada UMNO dan BN.
“Semua orang dah sedia maklum bahawa MPN ini hanyalah alat kepada UMNO dan BN. Bertambah teruk lagi sehinggakan ada orang gelar mereka ini profesor kangkung,” katanya ketika dihubungi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan