Khamis, 4 Disember 2014

CIJ gesa tarik balik cadangan daftar internet

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa kerajaan tidak meneruskan cadangan untuk mendaftarkan pengguna internet dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, cadangan itu hanya akan mewujudkan cabaran birokrasi serta menghalang kebebasan bersuara di negara ini.

“Tiada keperluan bagi kesemua pengguna media sosial untuk mendaftarkan diri dengan SKMM kerana tindakan ini hanya untuk menghalang hak kebebasan bersuara sahaja.

“Selain itu, kesalahan menghasut di bawah Akta Hasutan perlu dimansuhkan kerana tindakan kerajaan ini cuma untuk mendiamkan perbezaan pendapat,” kata CIJ dalam satu kenyataan.

Pada 1 Disember 2014, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan pengguna media sosial mendaftar dengan SKMM, dengan alasan terdapat mereka yang menggunakan nama samaran atau identiti palsu.

Menurut CIJ, pelaksanaan itu bukan sahaja akan mengundang kesukaran kepada pengguna, malah SKMM sendiri.

Jelasnya, tindakan mendakwa individu di laman sosial sebelum ini membuktikan pihak berkuasa sudah mempunyai sumber teknologi yang mampu mengesan identiti mereka.

Selain itu, katanya ungkapan yang melahirkan kebencian dan menghasut seharusnya didakwa atas kesalahan jenayah.

“Kerajaan sepatutnya lebih memberikan tumpuan mencari punca berlakunya tingkah laku tidak bertoleransi dan suara negatif bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih efisien,” ujarnya.

Tiada ulasan: