Khamis, 4 Disember 2014

‘Kejayaan’ Permata cuma atas kertas, mana buktinya? – Manivanan

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menunjukkan bukti yang lebih kukuh berhubung pencapaian program Permata Negara (PERMATA).

Shahidan dipetik berkata, kanak-kanak yang menerima pendidikan awal dalam program itu didapati menunjukkan keupayaan berfikir lebih ke hadapan melebihi satu peringkat usia.

“Ini kenyataan mengelirukan, di atas kertas nampak berjaya tetapi mana buktinya. Tidak semestinya sertai program tersebut memberikan hasil seperti yang dinyatakan. Banyak faktor lain yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak itu,” kata Manivanan ketika dihubungi.

Beliau mempersoalkan pencapaian pelajar yang terlibat dalam program itu sejak ia perkenalkan pada 2007, bagi menggambarkan kejayaan keseluruhan PERMATA.

“Mana peserta yang terlibat dari awal.  Kita mahu lihat buktinya, apakah sekarang mereka ini tergolong dalam ketegori pelajar cermerlang yang boleh dijadikan sebagai ukuran kejayaan program itu?.” soalnya.

Manivanan sebelum ini mempertikai peruntukan RM70 juta yang diberi kepada PERMATA yang hanya dibelanjakan kepada 1780 pelajar sahaja.

Katanya, statistik berdasarkan laman web rasmi PERMATA tidak logik kerana peruntukan tersebut terlalu besar, namun tiada keseimbangan daripada aspek kejayaan berdasarkan program yang dijalankan.

“Kenyataan terbaru Shahidan masih tidak ikhlas dan telus, beliau seharusnya memberi jawapan kepada rakyat bukan keluarkan kenyataan yang hanya bodek Rosmah,” tegasnya.

Program PERMATA Negara diasaskan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, sepanjang penubuhannya sejak 2007, berbagai spekulasi berkaitan salahguna dana bagi program tersebut timbul.

Tiada ulasan: