MALAYSIAKINI
Penyanyi era 60-an, Datuk A Rahman Hassan, 67, dan pelakon Fadilah
Mansor, 54, sah bergelar suami isteri di majlis ijab kabul yang diadakan
malam ini.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia
Putra itu menyaksikan kedua mempelai yang anggun berpakaian sedondon
berwarna krim, dinikahkan oleh imam Masjid Jamek Kampung Baru Kuala
Lumpur, Ustaz Azizi Abdul Hamid Al-Hafiz.
Di majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu itu, Fadilah yang
berwalikan abangnya Jamaluddin Mansor menerima mas kahwin berupa
sebentuk cincin berlian serta lima dulang hantaran berbalas lima dulang.
Ketika ditemui pemberita, A Rahman yang popular dengan lagu 'Tak
Mengapa' menzahirkan rasa syukur kerana majlis pernikahannya berjalan
lancar dan tenang.
"Ini merupakan satu pencapaian yang baru bermula dalam kehidupan saya
dan isteri dan Insya-Allah kami akan melayari bahtera rumah tangga ini
dengan sebaik mungkin", katanya.
Antara rakan artis yang hadir menyerikan majlis ialah pelakon Datuk
Jalaluddin Hassan, penyanyi Uji Rashid, Hail Amir dan Datuk DJ Dave.
Sebelum ini, Fadilah pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah
filem veteran, Ahmad Ibrahim atau Mat London dan memiliki dua orang anak
hasil perkahwinan terdahulu.
Sementara A Rahman pula merupakan bapa tunggal kepada tiga anak termasuk
pelakon dan pengarah Khir Rahman, selepas isterinya Datin Azizah
Mohamad yang juga penyanyi era 60-an meninggal dunia pada 26 April tahun
lepas, akibat kanser.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan