MALAYSIAKINI
Seorang pakar bius terpaksa memberi rawatan "intubation" (bius melalui
hidung) kepada seorang bayi dalam gelap untuk menyelamatkan nyawanya
selepas generator di Hospital Kuala Krai kehabisan minyak hari ini.
Ini merupakan pengalaman yang menakutkan seperti dinyatakan melalui
mesej WhatsApp oleh Dr Adibah Abdullah, seorang pegawai perubatan di
hospital itu.
Hospital itu beroperasi dengan menggunakan generator selepas bekalan
elektrik terputus kira-kira 5 petang semalam, akibat peras air meningkat
dengan cepat dalam apa yang disifatkan sebagai banjir terburuk dalam
sejarah Kelantan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dengan tepat bila generator telah kehabisan diesel.
Dalam rentetan mesej WhatsApp untuk memberi maklumat terkini kepada
seorang rakan mengenai keadaan yang semakin teruk di hospital, Dr Adibah
menjelaskan bahawa pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan unit
penjagaan kritikal (CCU) bernafas menggunakan mesin yang berfungsi
melalui kuasa bateri
"Kalau bekalan tak pulih, kami akan bergilir-gilir membuat manual bagging... tapi sampai bila?" beliau menulis.
Beliau berkata bekalan diesel untuk generator dijanjikan dihantar pada
jam 8.30 malam oleh helikopter. Bagaimanapun, masalahnya ialah hospital
itu berada dalam kegelapan sepenuhnya.
"Kami tidak mempunyai suar tetapi kami memerlukan lampu untuk menunjukkan kepada mereka di mana kami berada.
"Kuala Krai telah bertukar menjadi sungai yang besar, dan hospital kami
adalah satu daripada beberapa pulau yang tidak bersinar dalam
kegelapan," beliau dalam catatannya.
Dalam satu lagi detik yang menyayat hati, Dr Adibah berkata helikopter
telah tiba sebelumnya pada sebelah malam tetapi tidak dapat mendarat
kerana ketiadaan ruang.
"Kipasnya berputar begitu kuat sehingga air terpercik dari kawasan yang
digenangi air, serpihan berterbangan, dan mereka berkata bumbung akan
runtuh jika helikopter menghampiri lebih dekat.
Satu-satunya cara untuk
menyelamatkan pesakit ialah dengan mengangkat mereka ke atas, seperti
dalam filem. Dari bot, atau dari kawasan yang berhampiran dengan pinggir
air.
"Tetapi kita bercakap mengenai pesakit yang sakit di sini. Yang bernafas
dengan mesin, bayi-bayi baru lahir, orang tua patah tulang," beliau
menulis.
Beliau berkata helikopter akhirnya terpaksa berlepas tanpa memindahkan mana-mana-mana pesakit.
"Helikopter berlegar-legar... dan tidak menghantar apa-apa. Kenderaan
amfibia milik bomba datang. Kemudian ia pergi semula. Matron mengumumkan
"tak jadi pindah, sila pulang ke wad masing-masing.
"Dan kerana lif tidak berfungsi (menggunakan lif dalam keadaan elektrik
on-off begini adalah tindakan amat bahaya), kebanyakan pesakit mengheret
badan menaiki tangga," katanya.
Dr Adibah berkata pesakit berasa kecewa apabila mereka melihat kenderaan
amfibia itu berlepas dan tidak dapat sampai kepada mereka.
Beliau berkata satu-satunya bantuan perubatan yang tiba sejak krisis itu
bermula ialah seorang doktor tentera, yang tiba di hospital beberapa
jam lalu.
Sementara itu, sebanyak 157 pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II
(HRPZII), telah dipindahkan sebelum air mula masuk di sesetengah
bangunan di hospital berkenaan awal hari ini.
Pengarahnya Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata pemindahan pesakit
bermula sejak dua hari lalu kerana melihat kepada paras air Sungai
Kelantan YAng semakin meningkat.
"Kita pindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat termasuk
sebahagiannya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
Kubang Kerian dan wad di bangunan fasa baharu HRPZII.
"Kita ambil langkah awal dengan memindahkan pesakit," katanya ketika ditemui pemberita di HRPZII.
Beliau berkata pihaknya turut memberi kelonggaran kepada pesakit yang
telah sihat untuk mendapatkan rehat yang secukupnya di rumah.
"Kita juga beri peluang kepada pesakit sekiranya rumah mereka terlibat dengan banjir untuk terus tinggal di sini," katanya.
Ghazali Hasni berkata dalam masa yang sama pihaknya turut menerima
pesakit daripada Hospital Kuala Krai yang terjejas teruk akibat banjir
itu untuk menerima rawatan di HRPZII.
"Sekiranya perlu kita terima mereka (pesakit) untuk dapatkan rawatan di sini atau kita hantar ke HUSM,"katanya.
Katanya HRPZII bersedia menghantar kakitangannya untuk memberi rawatan di mana-mana hospital daerah yang memerlukan bantuan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan