MALAYSIAKINI
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), salah satu daripada lima
badan bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), mencadangkan digubal undang-undang khas bagi menangani
salah laku penjawat awam.
Pengerusi LPPR Zaitun Zawiyah Puteh berkata, penubuhan jawatankuasa khas
yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha negara dan peguam negara
adalah usaha proaktif bagi membendung ketirisan dan kelemahan pengurusan
kewangan seperti yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara
(LKAN) 2013.
"Justeru, LPPR juga menekankan keperluan mewujudkan undang-undang khas
bagi menangani salah laku penjawat awam yang membelakangi peraturan
serta kepentingan awam," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Zaitun berkata, LPPR juga mendapati salah satu kelemahan dalam
undang-undang sedia ada ialah ketiadaan peruntukan khusus berhubung
liabiliti korporat.
Jelas beliau, peruntukan seumpama itu perlu bagi memastikan syarikat
tidak terlepas daripada pendakwaan dan hukuman walaupun rasuah dilakukan
oleh kakitangan atau ejennya, selain turut meluaskan kuasanya kepada
sektor swasta, dan bukannya semata-mata terhadap sektor awam.
Zaitun juga mengesyorkan nama-nama calon yang dicadangkan mengisi
jawatan tertinggi syarikat milik kerajaan (GOC) atau berkaitan dengan
kerajaan (GLC), melalui proses tapisan keutuhan SPRM.
"LPPR berpandangan nama-nama calon yang dicadangkan mengisi jawatan
penting seperti ketua pegawai eksekutif di GLC dan GOC harus dikemukakan
kepada SPRM untuk melalui proses Tapisan Keutuhan," kata beliau lagi.
Ia merupakan antara lima saranan digariskan dalam Ulasan LPPR 2013 yang
diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) baru-baru
ini.
JKMR dan LPPR merupakan dua daripada lima entiti mekanisme semak dan
imbang yang memantau perjalanan SPRM sejak ia dibentuk pada tahun 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan