MALAYSIAKINI
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pemimpin parti
perlu mengambil serius teguran agar tidak mengeluarkan kenyataan yang
bertentangan dengan prinsip dan dasar parti.
Katanya, teguran berkenaaan, seperti yang disuarakannya ke atas ahli
majlis tertinggi Datuk Bung Moktar Radin, perlu dipandang serius kerana
kenyataan para pemimpin tersebut akan mencerminkan imej parti.
"Saya sudah mengingatkan kepada ahli Umno bahawa apa sahaja pendapat
yang mereka keluarkan sedikit sebanyak mencerminkan pandangan luar
terhadap Umno dan juga Majlis Tertinggi.
"Misalnya kalau seorang ahli parlimen, apa yang disuarakan itu, mereka yang berada diluar akan melihat kewibawaan BN," katanya.
Najib berkata beliau bertindak segera untuk menegur Bung
Moktar dan MP Kinabatangan itu juga telah memohon maaf atas kenyataan
yang menyanjung pemimpin parti Nazi Jerman, Adolf Hitler.
"Dan sebab itu saya ambil keputusan cepat untuk tegur beliau (Bung
Moktar). Dan beliau telahpun minta maaf dan tarik balik kenyataan
tersebut.
"Bung tahu pendirian kita. Maknanya kalau membuat satu kenyataan itu,
tak boleh menyentuh dan bertentangan dengan prinsip dan dasar perjuangan
parti.
"Kita sudah tegur dia secara terbuka. Ia teguran yang serius,” katanya
dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi
Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan