MALAYSIAKINI
Lebih 200 penduduk Kampung Selamat di Tasek Gelugor mengadakan
perhimpunan secara aman semalam bagi membantah ternakan babi di kawasan
itu dan meminta kerajaan negeri memindahkannya ke kawasan lain.
Pengerusi Kariah Masjid Kampung Selamat Ismail Hassan, 49, berkata
penduduk kampung itu sudah hilang sabar setelah sekian lama berdepan
dengan masalah ladang babi terutama pencemaran bau busuk dan air dari
sisa kumbahan ladang itu.
Kumpulan berkenaan yang berarak sejauh 100 meter dari Masjid Kampung
Selamat ke pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Selamat turut
menyerahkan memorandum mengenai bantahan itu kepada Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan
Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin yang turut berada di situ.
"Saya mewakili penduduk Kampung Selamat mahu menyuarakan rasa tidak puas
hati penduduk pelbagai kaum yang kurang selesa dengan keadaan ini
kerana tidak tahan dengan persekitaran ini.
"Diharapkan selepas penyerahan memorandum ini, pihak berkenaan terutama
kerajaan negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya agar kehidupan kami
lebih berkualiti," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan aman itu
di Tasek Gelugor hari ini.
Bantahan itu juga diadakan selepas seorang pelajar di Sekolah Kebangsaan
Kampung Selamat Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, disahkan
dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE) baru-baru ini.
Seorang penduduk Mohd Firdaus Daud, 29, berkata mereka juga mahu
kerajaan negeri pimpinan DAP mempelajari kaedah menternak babi seperti
yang dilakukan di Selangor iaitu menggunakan teknologi dengan sistem
penghapus bau dan sisa kumbahan yang lebih baik.
"Kami menyeru kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan segera (isu
penternakan babi) dan mendengar rintihan kami yang mahukan udara segar
dan suasana nyaman. Mereka sepatutnya pelajari teknologi menternak babi
seperti diamalkan di Selangor," katanya.
Kamarudin Salleh, 46, pula berkata penduduk di Kampung Selamat telah
sekian lama menderita dengan bau busuk dari kandang babi berkenaan
terutama pada waktu pagi dan malam, dan ia mengganggu keselesaan
penduduk.
Sementara itu, Dr Afif berkata pihaknya akan meneliti dan mengkaji pandangan dan suara penduduk Kampung Selamat itu.
"Isu memindahkan ladang babi ini bukanlah sesuatu yang baharu dan kami
sudah bawa kepada jawatankuasa aduan untuk meneliti perkara ini namun
belum dapat direalisasikan kerana beberapa perkara berbangkit," katanya.
Terdapat 84 ladang babi yang mempunyai populasi kira-kira 100,000 ekor babi di kawasan Kampung Selamat itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan