Khamis, 10 Julai 2014

Berhenti merokok di bulan puasa




Oleh Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AH G)


AMALAN puasa Ramadan seharusnya bantu cemerlangkan diri dari segi minda, psiko-emosi, fizikal dan spiritual. Perokok tegar merupakan individu yang mendapati diri mereka sukar untuk berpuasa dalam Ramadan. Baru beberapa jam berpuasa mereka berasa tidak selesa kerana mengalami kesan ketagihan.

Nikotin daripada tembakau merupakan bahan utama yang menyebabkan perokok berasa cergas sebaik-baik sahaja merokok. Ia berlaku kerana nikotin menyebabkan paras gula meningkat. Bagaimanapun merokok menyebabkan peningkatan paras gula berlaku secara mendadak. Malah penurunan paras gula juga mendadak.

Tidur adalah perbuatan terlarang pada waktu pejabat. Perokok yang tidak tahan mengantuk akan sanggup curi-curi tidur sekiranya mendapati bos tiada dalam pejabat.

Jadi, penagih rokok sebenarnya menghadapi kesukaran menghadapi waktu berpuasa pada siang hari sepanjang Ramadan.

Puasa merupakan ibadah yang membawa berkat dan nikmat kepada seluruh umat Islam. Namun ia didapati sebagai amalan yang menyeksa bagi penagih rokok, gula dan kopi. Sebab itu kadang-kadang anda terdengar rungutan daripada golongan isteri mengenai suami mereka yang ketagihan rokok sering ponteng puasa. Belum pun sampai waktu tengah hari penagih rokok sudah berbuka dengan merokok.

Interpretasi meleset

Kerana menghormati Ramadan, sesetengah penagih rokok hanya berbuka dengan menghisap rokok. Mereka tidak makan dan tidak minum.

Merokok merupakan seolah-olah suatu perbuatan yang memberikan mereka nyawa. Tidak dapat merokok selama berjam-jam
dianggap sebagai pemutus nyawa. Berbuka dengan merokok pula diterima sebagai sumber kehidupan!

Pencandu atau penagih rokok biasanya mempunyai tabiat atau kebiasaan berikut. Mereka akan merokok sebaik-baik sahaja lepas makan.

Mereka merokok ketika minum waktu rehat tidak kira apabila bersendirian atau bersama rakan. Merokok ketika buang air besar adalah perbuatan wajib bagi mereka. Mereka selalu hilang pada waktu bekerja hanya kerana perlu lepaskan gian untuk merokok.

Terdapat segelintir pemandu bas ekspres yang merokok ketika memandu bas yang sedang dipenuhi penumpang. Jika ada penumpang cuba menegur, mereka akan memberikan pelbagai alasan.

Pertama mereka akan mengantuk jika tidak merokok. Alasan kedua ialah asap rokok keluar dari bas kerana mereka buka tingkap di sebelah kanan ruang pemandu. Alasan lain ialah mereka hanya hisap rokok bukan hisap dadah!

Walaupun buka tingkap, asap rokok tetap meliputi ruang penumpang. Kalau tidak masakan penumpang merasa terganggu dengan bau asap rokok. Wahai golongan pemandu bas ekspres yang merokok ketika memandu bas yang membawa penumpang, ingat-ingatlah merokok ketika memandu bas adalah salah di sisi undang-undang.

Sebahagian perokok pula akan merokok sesuka hati tidak kira di mana mereka berada seperti di restoran. Kerana hendak jaga hati pelanggan, pemilik restoran pula menyediakan bekas puntung rokok mudah alih yang kadang-kadang dibubuh di semua meja.

Ramai juga yang merokok ketika berada bersama keluarga yang dianggotai oleh remaja dan kanak-kanak contohnya ketika berehat dan memandu.

Sesetengahnya mempunyai tabiat yang buruk iaitu mengirim beli rokok kepada isteri, anak perempuan dan anak lelaki bawah umur.

Ramadan ialah bulan muhasabah. Menahan diri daripada makan dan minum serta daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa termasuk merokok, sepatutnya dijadikan sebagai latihan yang memberi kekuatan minda, fizikal dan kerohanian setiap orang yang berpuasa.

Jika ada kemahuan, puasa Ramadan boleh dijadikan waktu untuk berhenti merokok. Antara kaedah utama untuk mengurangkan ketagihan kepada bahan tersebut ialah bersahur dan mengakhirkan waktu bersahur.

Perokok yang langsung tidak bersahur dan makan sahur awal lebih mudah mengalami simptom ketagihan merokok. Ia juga dipercayai menyebabkan sesetengah perokok akan mengalami kesan ketagihan yang lebih buruk.

Sesetengah orang tetap terus mengamalkan kebiasaan yang mereka lakukan iaitu tidak bersahur dan bersahur terlalu awal. Sebahagian orang melakukannya kerana jahil (tidak tahu) atau kerana degil.

Pada pandangan penulis, kemajuan dalam penyampaian maklumat pada zaman sekarang seharusnya tidak dijadikan alasan untuk mengaku diri jahil.

Setiap orang yang mengaku Islam seharusnya mengamalkan sikap para sahabat iaitu samikna wa’athokna (maksudnya ialah kami dengar dan kami taat).

Daripada Abu Hurairah berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apa saja yang aku larang kamu melaksanakannya, hendaklah kamu jauhi dan apa saja yang aku perintahkan kepada mu, maka lakukanlah menurut kemampuan kamu.

Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah karena banyak bertanya dan menyalahi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keperluan vitamin

Sesungguhnya terdapat beberapa hadis mengenai kebaikan makan sahur. Antaranya seperti disebutkan daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Makan sahurlah kalian, karena sesungguhnya dalam makanan sahur terdapat barakah).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud barakah atau dalam bahasa Melayu yang biasa disebut berkat ialah kebaikan yang tetap dan banyak. Barakah dalam hadis tersebut dikatakan ulama meliputi kebaikan pada makanan sahur dan perbuatan bersahur.

Mengenai sunnah mengakhirkan bersahur pula kita dapati hadis daripada Anas bin Malik RA, daripada Zaid bin Tsabit RA beliau berkata, “Kami makan sahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami berdiri untuk mengerjakan solat.” Anas berkata, “Aku berkata kepada Zaid,
"Berapa rentang waktu antara azan dan sahur?" Zaid menjawab, "Kira-kira 50 ayat"” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis al-’Irbadh bin Sariyah, beliau berkata, ”Rasulullah SAW mengundang ku untuk makan sahur pada bulan Ramadan lalu mengatakan, “Marilah menikmati makan pagi yang mengandungi barakah.” (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ahmad, Baihaqi dan Ibnu Khizaimah)

Jika perokok mendapati makanan mereka sebelum dan sepanjang Ramadan tidak mencukupi dari segi nutrien contohnya vitamin tertentu, maka mengambil suplemen multivitamin adalah pilihan bijak. Antara lain contohnya beberapa jenis vitamin B membantu membaik pulih sel termasuk DNA.

Makanlah pelbagai makanan berantioksidan. Lemak tradisional yang menyihatkan seperti makanan bersantan, telur, minyak sapi, keju dan mentega susu asli sepatutnya dimakan setiap hari kerana ia membantu orang yang berpuasa lambat merasa lapar.

Gula dan minuman tinggi kafeina merupakan perangsang adrenalina sepertimana merokok. Jadi, pemilihan makanan yang sesuai, melewatkan waktu bersahur dan kesungguhan akan membantu perokok tegar menjalani puasa Ramadan dengan cemerlang.

Jika anda teliti betul-betul maksud firman ALLAH SWT: “...janganlah kamu campakkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah: 195)

Penulis percaya ramai perokok yang akan berhenti merokok. Merokok secara tegar selama bertahun-tahun meningkatkan risiko kanser seperti kanser paru-paru berlipat kali ganda.

Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AH G). Herbalis profesional bertaraf dunia. Juru runding dan pendidik nutrisi holistik. Buku: Kawal Berat Badan, V. Aromaterapi, Serangan Jantung, Diabetes Jenis 2. Rawat Dengan Herba – Cegah Demam & Flu

Tiada ulasan: