Oleh Hazlan Zakaria |
Walaupun telah bersara sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus menerima liputan media disebabkan kenyataan menyindir dan jenaka bersahaja beliau.
Walaupun
ramai yang mempersoalkan mengapa dia diberi liputan dan
menggelarkannya sebagai nyanyuk, ironinya pembaca termasuk mereka yang
membenci beliau seolah-olah begitu gemar membaca apa yang
diperkatakannya.
Mahathir sendiri nampaknya gemarkan liputan ini, mungkin sisinya yang telah terbiasa mendapat perhatian.
Mungkin "Sindrom Mahathir" ini telah turut merebak ke bekas
menteri-menteri lain, yang dilihat membuat kenyataan kontroversi dan
menyuarakan pendapat mereka ke seluruh dunia.
Seolah-olah ada yang mengucapkan "Zam Zam Ala Kazam" dan menyeru
kembali tikar terbang P Ramlee dari tempat persembunyiannya, di
bilik-bilik simpanan Studio Jalan Ampas, dan ianya kembali terbang ke
langit.
Tikar terbang yang bergerak sendiri dan menyerang semua pihak.
Perumpamaan ini menerangkan dengan baik bagaimana seorang bekas
menteri Umno yang telah dilupakan radar politik Malaysia, tiba-tiba
muncul kembali untuk mengisi halaman berita politik.
Tidak semena-mena Tan Sri Zainuddin Maidin, yang pernah menjadi
menteri maklumat dan juga bekas ketua editor Utusan, menjadi tumpuan
media sebagai seorang demagog yang berapi-api, namun bukan terhadap
pembangkang persekutuan, tetapi terhadap rakan-rakan komponen BN MCA,
dan juga Umno sendiri.
Zainuddin,
atau lebih dikenali sebagai Zam, telah berada di penghujung kerjaya
politiknya setelah kehilangan kerusi Parlimen Sungai Petani kepada
Johari Abdul dari PKR pada tahun 2008.
Tetapi Zam tidak asing dengan kontroversi. Pada tahun 2012 dia telah
menyebabkan insiden diplomatik dengan negara jiran, Indonesia apabila
rencana beliau dalam Utusan Malaysia yang dimiliki Umno mengkritik bekas
presiden BJ Habibie, dan menaikkan kemarahan presiden republik itu.
Beliau juga terlibat dalam masalah undang-undang pada tahun lepas
dengan syarikat penerbangan tambang AirAsia, selepas artikel di laman
blog beliau seolah-olah mendakwa syarikat penerbangan itu menghidangkan
daging babi dalam penerbangannya.
Tetapi secara umumnya dia tidak mendapat perhatian selain daripada
beberapa peristiwa yang dimulakannya dua minggu lalu, apabila beliau
mengutuk MCA untuk "pergi mampuslah" jika parti komponen BN itu terus
mengikut jejak langkah parti pembangkang, DAP.
Beliau juga mendakwa bahawa akhbar harian Bahasa Inggeris The Star milik MCA dipengaruhi oleh pelampau Kristian.
Kenyataan Zam menyebabkan MCA bertindak balas dan mereka berdua bertelagah.
Beliau juga menyerang veteran Umno seperti ketua Umno Cheras, Datuk
Seri Syed Ali Alhabshee apabila beliau secara terbuka mengecam
kepimpinan parti itu kerana berbangga dengan ahli yang lain dan yang
mengenepikan rakyat melalui sikap elitis mereka.
Zam menggunakan perumpamaan memakai pakaian songket mahal ke
majlis-majlis parti sebagai bukti, menaikkan kemarahan Syed Ali yang
membalas dengan menuduh Zam mempunyai pengalaman dalam "menggelapkan
dana awam".
Presiden Umno, Datuk
Seri Najib Razak juga tidak selamat daripada kritikan, apabila bekas
menteri ini kemudiannya mengecam partinya sendiri.
Ia seolah-olah Zam telah turut dijangkiti sindrom Mahathir selepas "persaraan" beliau.
Tetapi sudah tentu beliau bukan yang pertama mensasarkan Umno, kerana
sebelum ini pakar media Datuk A Kadir Jasin dan penulis-penulis blog
Umno pernah menyerang kepimpinan Najib dan situasi dalam Umno pada masa
kini.
Dan Zam bukannya bekas
menteri pertama yang menjadi tajuk utama berita, kerana bekas Timbalan
Perdana Menteri Tun Musa Hitam juga telah mencetuskan kekacauan melalui
pendedahannya mengenai kejadian-kejadian yang melibatkan peristiwa
Memali.
Tetapi persoalannya mengenai telatah Zam adalah, mengapa sekarang?
Mengapa dia tiba-tiba bersuara?
Siapakah yang beliau wakili, kem Umno yang mana? Atau sesungguhnya dia
hanya dijangkiti sindrom Mahathir, dan menikmati perhatian media lama
selepas "bersara"?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan