Khamis, 10 Julai 2014

13 Mei: Muhyiddin bagai melaga-laga kaum- Anwar

Oleh: Fiza Halim


KAJANG: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tan Sri Muhyidin Yassin sepatutnya memupuk kerjasama dan persefahaman antara kaum dan bukan menimbulkan ketakutan kepada rakyat dengan sentimen perkauman.

Menurutnya, timbalan perdana menteri itu perlu memberi contoh yang baik dan teladan kepada rakyat, dan sebagai pemimpin harus menanamkan semangat persefahaman di kalangan mereka.

“Bulan Ramadan ini, beliau harus tanamkan tradisi persefahaman, bukan takut-takutkan rakyat.

“Apa-apa pun kita harus berpandukan Al Quran, itu asas dalam kehidupan kita,” katanya selepas solat tarawikh dan tazkirah di Surau Saujana Impian dekat sini.

Muhyidin baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila memberi amaran mengenai peristiwa hitam 13 Mei akan berulang semula sekiranya perlembagaan negara dipersoal.

Tindakan itu menerima kritikan pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai bahaya kepada hubungan kaum.

Tambah Anwar, sentimen perkauman tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia boleh membuat salah faham antara kaum- kaum yang ada di negara ini.

“Ini boleh menyebabkan salah faham, dan ia bagaikan melaga-lagakan lagi sentimen perkauman,” jelasnya.

Tiada ulasan: