Isnin, 21 April 2014

Mengapa hanya Kelantan dipaksa tunjuk kesungguhan?



Oleh MOHD ARIF JUHANI


UMAT Islam tentunya teruja menyaksikan buat pertama kalinya usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) akan dibawa oleh Ahli Parlimen PAS untuk dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen pada penggal akan datang.

Sekiranya PAS berjaya memperoleh persetujuan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat, maka pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 boleh dibuat di Kelantan selewatlewatnya pada penghujung tahun hadapan.

Selain terpengaruh dengan tindakan kerajaan monarki Brunei yang sudah melaksanakan hukum hudud, kesungguhan kerajaan PAS Kelantan turut didorong oleh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato’ Seri Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan pusat sedia membantu jika Kelantan ingin melaksanakan undangundang berkenaan.

Jamil Khir berkata demikian dalam Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu.

Referendum lebih berkesan berbanding undi parlimen Umumnya kita maklum bahawa hudud sememangnya sinonim dengan perjuangan PAS sejak sekian lama.

Apatah lagi ketika Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar, kesungguhan untuk melihat hukum Allah ini tertegak semakin jelas tetapi menerima bantahan keras selepas itu oleh kerajaan persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Soal hudud sememangnya rumit untuk dirungkai dan dijelaskan kepada rakyat sama ada Islam dan bukan Islam. Kerumitan ini bukan sebab mereka tidak mahu faham tetapi kerana kerajaan Umno-BN pun tidak bersungguh-sungguh untuk memastikan pelaksanaannya berjaya.

Dari satu segi, sukar dinafikan bahawa PAS memang dalam dilema.

Walaupun hudud adalah perjuangannya, namun Pakatan Rakyat tidak pula meletakkan hudud sebagai matlamat perjuangan bersama.

Jadi, apabila Jamil Khir mula menyatakan kesediaan untuk membantu Kelantan, maka kelihatan PAS semakin berhati-hati mengatur tindakan.

Kalau boleh PAS mahu kedua-duanya berlaku iaitu hukum hudud berjaya dilaksanakan dan hubungan dengan parti komponen Pakatan Rakyat terus kukuh terjalin. Ibarat kata pepatah ‘tarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’.

Memang beberapa pimpinan PAS juga ada menjelaskan bahawa pembentangan undang-undang hudud di parlimen nanti tidak akan menjejaskan kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat. Tetapi, respon segera oleh rakan komponennya menunjukkan sebaliknya.

Sebenarnya bukan pimpinan Pakatan sahaja yang bersikap negatif terhadap hudud, rakyat jelata juga masih menaruh syak yang tinggi terhadap hudud, apatah lagi dengan sikap beberapa institusi Islam yang gagal memastikan hak dan kebajikan umat Islam termasuk golongan mualaf dalam negara ini terbela.

Mungkin cadangan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad agar sebuah referendum berhubung isu hudud diadakan sedikit sebanyak boleh membantu PAS melihat pandangan sebenar rakyat terbanyak terhadap hukuman hudud.

Referendum ini juga sebenarnya lebih besar kesannya berbanding mengharapkan sokongan dua pertiga di Parlimen seperti yang dilontarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato’ Razali Ibrahim. Katanya, jika mahu sokongan dua pertiga, PAS perlu memastikan 40 anggota Dewan Rakyat bukan Islam turut menyokong usul tersebut.

Tetapi, melalui referendum, bukan sahaja membuktikan PAS terus bijaksana memanfaatkan saluran demokrasi, bahkan boleh dianggap sebagai simbolik penghormatan PAS terhadap kemajmukan rakyat dalam negara ini. Jika benar Umno-BN pun sokong hudud, desak juga mereka bersamasama adakan referendum ini diseluruh negara.

Umno cuba hancurkan tunjang kekuatan Pakatan Tidak boleh tidak, kita memang kena melihat persoalan ini dari pelbagai dimensi yang berbeza. Cuba kita baca kenyataan Jamil Khir ini dari kaca mata manipulasi dan propaganda Umno- BN. Kita tidak nafikan bahawa apa yang disebut itu adalah peluang tetapi ada masanya peluang boleh menjadi perangkap kepada kita.

Mungkin dalam kerangka pemikiran Umno-BN sudah sedar bahawa kekuatan Pakatan Rakyat terletak pada parti komponennya iaitu PAS dan Ke- ADILan.

Jika kekuatan KeADILan tunjangnya terletak kepada pengaruh Ketua Umumnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka PAS pula dilihat hubungan eratnya dengan kesungguhan untuk melaksanakan hukum hudud.

Bila mahkamah rayuan pada 7 Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara kepada Anwar Ibrahim atas kesalahan moral yang tidak dilakukan, pemikiran kita secara spontan terus melihat hukuman itu sebagai dendam politik bagi mematikan ‘Langkah Kajang’.

Maka apakah pula dalam soal Hudud ini tidak terlintas bahawa berkemungkinan ianya juga satu perangkap bagi memastikan hubungan erat Pakatan Rakyat bukan sahaja renggang, bahkan terus berpecah sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bukan susah pun untuk kita anggap kenyataan Jamil Khir itu sebagai propaganda politik. Sebabnya, kalau benar Umno-BN boleh menyokong hudud, mengapa tidak mereka sahaja yang mengusulkannya ke Parlimen? Kita pasti bukan susah pun untuk PAS menyatakan sokongan penuh terhadap hukum itu.

Tetapi, belum apa-apa lagi, sudah terbukti yang Umno-BN memang tidak berminat pun dengan hudud.

Lihat sahaja apa yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada 15 April lalu apabila Yang Dipertuanya, Mohd Zubir Embong menolak usul Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu yang dibawa oleh Ustaz Mohd Nor Hamzah (PASBukit Payong).

Usul tersebut yang dibentang dibawah peraturan mesyaurat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dun pernah mendapat kelulusan oleh Dun pada 7 Julai 2002. Ketika itu, menteri besarnya adalah Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Cara usul itu ditolak pun sudah membuktikan lebih awal bahawa Umno-BN memang tidak mempunyai roh dan kesungguhan untuk mengorak langkah yang sama seperti Kelantan.

Sehubungan itu, mengapa hanya negeri Serambi Makkah itu sahaja yang dipersalahkan?

Tiada ulasan: