KEADILAN DAILY
Baru-baru
ini video perbincangan mengenai Jambatan Besi Desaria telah disiarkan
di internet. Jambatan yang menyeberangi Sungai Penchala ini menjadi
jalan pintas dalam menghubungkan Pangsapuri Desaria Fasa 1 dan
Pangsapuri Desaria Fasa 2. Terdapat sebuah kuil berhampiran Pangsapuri
di Fasa 2 ini dan sebahagian penduduk dari Fasa 1 akan menggunakan
jambatan ini sebagai laluan untuk ke kuil tersebut dan beberapa kawasan
lain di Fasa 1. Jambatan ini pada asalnya hanyalah merupakan binaan
sementara ketika projek pembinaan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) kira-kira
lebih 10 tahun yang lalu.
Perbincangan ini diadakan beberapa tahun yang lalu di pejabat lama
saya di SS6 Kelana Jaya, dipengerusikan oleh saya sendiri dan dihadiri
oleh beberapa pihak lain. Video tersebut dirakam secara diam-diam ketika
perbincangan sedang berjalan, dan kemudiannya disunting dan digambarkan
dalam bentuk yang jauh berbeza daripada tujuan asal perbincangan itu.
Tindakan bersifat khianat ini bertujuan memberi gambaran buruk terhadap
diri saya dan merupakan suatu usaha untuk mencemar imej saya.
Sebagai
rekod, pihak NPE telah menimbulkan isu keselamatan jambatan ini kepada
saya apabila saya dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia
pada tahun 2008. Setelah berbincang bersama penduduk setempat dan mereka
yang berkepentingan, saya walaubagaimanapun mencadangkan agar kerja
meroboh jambatan tersebut ditangguhkan kerana beberapa upacara penting
akan berlangsung di kuil pada ketika itu.
Saya kemudiannya ada mengadakan beberapa siri perbincangan lanjutan
dan menelan masa yang lama dalam mencapai kata putus kerana terpaksa
mengambil kira aspek keselamatan penduduk dan pada masa yang sama harus
menyediakan kemudahan untuk mereka menyeberangi Sungai Penchala.
Video ini dirakam dalam salah satu perbincangan yang telah diadakan.
Tapak penempatan baru kuil tersebut telah dipersetujui oleh mereka yang
berkepentingan dan saya telah melawat kuil tersebut beberapa kali
termasuk bersama Hindu Sangam.
Dalam pada video ini menggambarkan perbincangan yang berlangsung
adalah ‘panas’ dan rancak, ia turut jelas memaparkan yang saya ada
menekankan bahawa perkara pokok adalah keselamatan penduduk itu sendiri.
Saya mengambil kira tanggungjawab ini secara serius.
Akhirnya, perkara ini telah dibawa ke mesyuarat rasmi MBPJ dan
dihadiri oleh antaranya, Timbalan Datuk Bandar Puasa Md Taib, Pengarah
Kejuruteraan Cheremi Tarman, Ahli Parlimen Kelana Jaya YB Gwo Burne Loh
dan Ahli Majlis MBPJ Halimey Abu Bakar. Wakil NPE dan pemaju kawasan
sekitar seperti Masteron dan PJCC juga turut hadir.
Kata putus akhirnya berjaya dicapai dimana pemaju bersetuju untuk
membina jambatan baru bagi menggantikan jambatan lama sebagai sebahagian
daripada syarat-syarat kelulusan pembangunan mereka.
Pada masa sama,
Jalan PJS 2 harus dinaik taraf. Jambatan Besi sedia ada juga dibenarkan
untuk kekal beroperasi sehingga jambatan baru siap dibina. Semua pihak
yang hadir bersetuju dengan keputusan ini termasuk diri saya sendiri.
Saya kesal jambatan baru masih belum dibina sehingga kini. Saya
dengan ini beriltizam untuk bekerjasama dengan pihak yang berkaitan
untuk memastikan pembinaan jambatan baru ini dapat dilaksanakan secepat
yang mungkin untuk kegunaan penduduk setempat dan saya amat
mengalu-alukan sebarang maklum balas mengenai isu ini.
NIK NAZMI NIK AHMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan