Oleh Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Runsing selepas menerima surat pengesahan
sebagai pengundi pos, seorang wanita segera mengadukan hal itu kepada
KEADILAN kerana dakwanya, dia tidak pernah mengundi walaupun sekali
apatah lagi belum mendaftar sebagai pengundi.
Perkara ini didedahkan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Siddik Ibrahim selepas menerima aduan itu di
Bilik Gerakan Utama di Parlimen Lembah Pantai baru-baru ini.
Katanya, wanita yang bekerja di Kuala Lumpur itu menerima surat menggunakan alamat kampungnya di Johor.
Mangsa turut menjelaskan isi kandungan surat itu yang antara lain
menunjukkan beliau disahkan sebagai pengundi pos di Taipei, Taiwan.
“Beliau hairan bagaimana namanya boleh disenarai sebagai pengundi di
Taipei sedangkan dia bekerja di Kuala Lumpur dan berasal dari Johor.
“Saya sendiri ada menggesa beliau untuk melaporkan perkara ini kepada
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, tetapi beliau bimbang atas
faktor publisiti media yang mungkin menjejaskan kerjayanya,” kata Siddik
kepada Keadilan Daily.
Menurut Siddik, wanita itu berjanji untuk menghubunginya kembali bagi membantu siasatan salahguna maklumat peribadi. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan