Rabu, 17 April 2013

Surat terbuka kepada "Khadam Politik"

Abdul Hadi Awang,


1.    Di zaman Rasulullah SAW berdakwah dan berjihad, Islam bukan sahaja menghadapi musuh di kalangan ahli kitab, tetapi juga dari kalangan mereka yang berilmu berkenaan Islam dan kenabian Muhammad SAW. Mereka ini juga ikut serta menentang Islam secara terbuka, atau bersembunyi di belakang kalangan munafiqin (yang berpura-pura Islam) atau mempengaruhi orang-orang Islam yang lemah imannya.

2.    Kumpulan ini sanggup menentang Islam kerana terlalu terpengaruh dengan harta dan pangkat yang mudah dicapai. Mereka ini bersedia melakukan apa sahaja yang terdekat dan cepat tanpa memikirkan akibatnya. Walau pun mereka percaya benarnya Islam dan mulianya Rasulullah SAW  dengan sifat yang terpuji dan akhlak yang luhur, tetapi kemenangan Islam dianggap payah dan mungkin mustahil . Apatah lagi mereka memikirkan bahawa akhirat terlalu jauh, lalu memilih jalan yang mudah, dekat dan tidak mencabar.

3.    Kalaulah seorang tokoh seperti Rasulullah SAW pun menghadapi jenis manusia yang begitu rupa, maka di zaman umat yang menyambung perjuangannya tentulah lebih banyak lagi, mungkin dengan cara dan sifat yang berlainan.

4.    Di zaman penjajah pula digunakan para ulama yang mencari kebendaan dan pangkat untuk menentang jamaah Islam yang menentangnya. Penjajah ini mengambil langkah menghapuskan ulama yang berpolitik, dan membiarkan dan menyokong ulama yang tidak berpolitik. Maka kalangan umat Islam yang jahil dan lemah imannya menjadi keliru, kerana ada ulama yang menyokong penjajah dengan membaca ayat-ayat Al Quran dan Hadith juga. Sehingga ada kalangan tokoh ulama pewaris Rasul menjadi mangsa di bunuh, di buang negeri, di penjara dan sebagainya.

5.    Di zaman ini penjajah asing sudah keluar. Negara sudah merdeka, namun umat Islam dan rakyat bukan Islam yang lemah bersamanya masih dibelenggu dengan penjajah tempatan yang meneruskan kemungkaran dan kezaliman yang membelenggu rakyat keseluruhannya.

6.    Pada waktu ini pula di bawah pemerintahan Kerajaan BN selama puluhan tahun, taktik kerajaan yang bermasalah ini turut sama menggunakan khadam untuk mempertahankan takhta politiknya. Di antaranya menggunakan kumpulan yang berjenama Islam bagi mempertahankan kebatilan yang masih berkuasa dengan zalim dan fasik, serta memerintah dengan segala tipu dayanya.

PAS bersama Pakatan Rakyat
 
7.    Dalam menghadapi PRU-13 ini, PAS memperkenalkan konsep Negara Berkebajikan dengan makna yang menyeluruh. Bukannya “Negara Kebajikan” mengikut istilah barat, tetapi “Negara Berkebajikan” bersama pemimpin yang beriman dan budiman dan adil terhadap semua.

8.    Konsep ini diterapkan dalam Buku Jingga dan ditafsirkan dalam Manisfesto di peringkat pusat dan kerajaan negeri masing-masing, berasaskan sistem Federalisma yang membahagikan bidang kuasa dan memberikan ruang yang lebih berkesan mengikut realiti negeri dan masyarakat yang berbeza. Konsep ini dapat diterapkan melalui konsep Islam itu Rahmat dan adil terhadap semua. Ini mampu dilaksanakan dalam Pakatan Rakyat walau pun berbeza ideologi dan agama, tanpa perlu berganjak dari dasar Islam dan tanpa paksaan terhadap pihak yang berbeza.

9.    Penyokong PAS mengundi DAP di atas konsep Tahaluf (persefahaman) dan bersama menolak BN kerana kemungkarannya yang besar, parah  dan nyata. Atas kesediaan DAP dan PKR menerima konsep bersama menentang kemungkaran yang besar, maka  penyokong DAP dan PKR bukan Islam mengundi PAS dan menolak MCA, MIC dan lain-lain parti komponan BN dan bukan sahaja menolak UMNO. Tembok perkauman yang menjadi tiupan UMNO melalui Biro Tata Negara (BTN) milikan Kerajaan ini berjaya dipecahkan !.

10.    Sebaliknya penyokong UMNO (Melayu Islam) pula tidak mengundi PAS, tetapi mengundi MCA, Gerakan dan lain-lain di kalangan bukan Islam dalam keadaan slogan Umno  hidup melayu dan mempertahankan Islamnya dengan solekan godaan politik wang (rasuah).  MAKA KETIKA INI MUNCULLAH KHADAM YANG DIGUNAKAN DENGAN BERBAGAI PENDEKATAN.

Kemunculan Khadam – untuk selamatkan UMNO

11.    Ada kalangan media melayu Islam mengambil pendekatan menakutkan orang bukan Islam dengan undang-undang syariat seperti hudud dan lain – lain tanpa penjelasan hikmat, proses kehakiman dan caranya yang adil. Ada juga yang mengambil pendekatan semangat perkauman dan agama untuk memecahkan Pakatan Rakyat dengan sikap sangat bersimpati terhadap PAS, pada hal merekalah tangan yang menzalimi penyokong PAS selama ini.

12.    Dalam masa ini, wujud satu lagi golongan yang mendakwa ingin menarik undi Melayu Islam di atas nama Islam, tetapi tujuannya nyata untuk memenangkan BN bukannya memenangkan Islam. Mereka hanyalah sekadar khadam kepada BN Umno atau askar upahan dan sebagainya. Hakikatnya mereka hanya bertanding di sejumlah kecil kerusi sahaja, dan kawasannyanya hanya sekangkang kera yang tidak boleh bertanam dan membina rumah.

13.    UMNO yang sangat gelabah dengan perkembangan mutakhir, mereka mula secara tidak langsung sedang menggunakan khadam daripada NGO yang berjenama Islam seperti ISMA dan lain-lain, bertanding di atas nama Islam, dengan tujuan untuk menarik undi Melayu Islam di kawasan bukan Islam. Tindakan pendek politik ini hanya berjaya untuk memenangkan MCA, MIC, Gerakan atau UMNO yang sedang  bergelumang dengan kemungkarannya.

14.    Sekiranya kita memahami demografi pengundi dan politiknya, dicampurkan dengan faktor jumlah kerusi yang sangat kecil ini, maka mereka ini perlu faham bahawa tindakan bertanding ini tidak akan membolehkan mereka untuk menegakkan negara atau menjadi pembangkang. Tindakan mereka ini hanya berjaya menjadi khadam menyelamat kemungkaran yang sedang berakar umbi. Caranya bertepatan dengan apa yang dinyatakan :

كلمة حق أريد بها باطل

Ucapan yang benar, tetapi dikehendaki tujuannya yang salah.

15.    Mereka bertanding bukan bertujuan untuk menang dan mendokong suara Islam dengan berani dan tegas, tetapi untuk memberi kemenangan kepada kebatilan yang telah berlalu lebih daripada lima puluh tahun, bermakna sejak belum mereka dilahirkan ke dunia.

16.    Kalau kail hanya sejengkal, jangan memancing di lautan yang dalam. Politik dalam Islam adalah amanah besar,  perlu dipelajari dan difahami kalau mahu berpolitik berlandaskan Islam dan matlamatnya. Ketahuilah bahawa politik Islam itu ada  hukum dan feqahnya, seperti juga feqah sembahyang, haji dan zakat. Rasulullah SAW mengajar Islam semuanya secara  Feqah dan Akhlak (Tasawuf) yang berlandaskan aqidah (Iman) mematuhi perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." Al Baqarah 208

Marilah kita sama-sama bandingkan dengan amanat Tun Mahathir : “Lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada berkawan dengan malaikat yang kita tidak kenali”.

17.    Bolehkah berkawan dengan parti yang politiknya dipisahkan daripada Islam ? Ada juga yang mencari nasihat bomoh yang bersahabat dengan syaitan bagi menentukan tarikh pilihan raya, dan menggoda rakyat dengan wang dan sebagainya untuk menang walaupun banyak salah lakunya. Allah SWT melarang kita mendekati syaitan dan jin ini kerana godaannya sangat menarik.

18.    Adapun orang yang bukan Islam pula, terdapat juga di kalangan mereka yang diizinkan oleh Allah untuk kita bekerjasama dengan mereka, di atas sifat dakwah dan kemanusiaan sejagat yang diwajibkan ke atas masyarakat madani dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya SAW bagi menegakkan adil terhadap semua.

19.    Fahamilah feqah politik Rasulullah SAW sebelum tegaknya negara bersama dengan sahabatnya yang setia dan ikhlas bersama Islam, dan bersama bukan Islam seperti Abu Tholib, Mut’im bin ‘Adi dan lain-lain yang belum Islam dan tidak bermusuh atau tidak keras kerana masih ada sifat–sifat kemanusiaan. Rasulullah SAW mengizinkan Abu Bakar RA menggunakan khidmat seorang bukan Islam ketika berhijrah yang sangat memerlukan ciri keselamatan, seterusnya bertahaluf dengan kalangan bukan Islam ketika menegakkan negara di Madinah.

20.    Tahaluf ini juga dilaksanakan oleh kerajaan Islam di zaman Al Khulafa’ Ar Rasyidin dan selepasnya bersama masyarakat majmuk berbagai agama, termasuk agama yang tidak ada di negeri arab, berkongsepkan sabda Rasulullah SAW :

وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلَّا شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
سنن الترمذي - (ج 5 / ص 199

Dan orang-orang Islam itu wajib berada di atas segala syarat yang mereka janjikan, kecuali syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

21.    Rasulullah SAW. menyerang Makkah walau pun pemimpinnya daripada kalangan bangsanya dan keluarga terdekat, apabila kabilah Khuza’ah yang bertahaluf denganya telah diceroboh oleh kalangan yang bertahaluf dengan pemimpin Makkah yang zalim.

22.    Fahamilah, bahawa kerjasama PAS bersama Pakatan Rakyat adalah tahaluf yang diajar oleh Islam, sangat berbeza dengan kerjasama UMNO  (melayu Islam)  bersama BN.

23.    Syarat-syarat hukum Islam tidak ada dalam parti kebangsaan seperti Umno, walau pun melayunya Islam. Jawatankuasa Biro agamanya tidak berhak membuat dasar dan mengatur strategi, kerana UMNO tertakluk dengan konsep BN yang tidak terikat  dengan konsep politik mengatasi agama atau berkonsepkan politik dipisahkan daripada agama.

24.    Selepas melakukan penipuan dan rasuah, ianya seolah-olah boleh diselesaikan dengan haji dan umrah subsidi. Sehinggakan kalangan agamawan dalam UMNO hanya sekadar menjadi makmum yang tidak boleh membuat kenyataan mendahului imam walau pun imamnya sudah batal wuduk dan solatnya.

25.    Sembahyang tanpa feqahnya menjadikan seorang yang jahil feqahnya mendahului imam ketika berjamaah dan boleh berbual, ketawa  bersantai ketika bersembahyang. Puasa tanpa feqahnya hanya sekadar mogok  lapar tanpa ibadat. Haji tanpa feqahnya umpama melontar batu besar dan sepatu merejam kawan bukannya merejam syaitan. Maka begitulah juga politik tanpa feqahnya hanya sekadar mejadi khadam kepada musuh Islam atau khadam kepada mereka yang berlarutan zalimnya.

Ya Allah!, lindungilah kami daripada syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tiada ulasan: