KUALA LUMPUR, : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof perlu memohon maaf kerana gagal mendaftar kira-kira 700,000 rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara sebagai pengundi pos.
Pakar Strategi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, Pengerusi SPR itu dalam kenyataan semalam mendakwa beliau kecewa kerana hanya dapat mendaftar 6,298 rakyat Malaysia yang berada di luar negara sebagai pengundi pos.
Berikutan itu, katanya, rakyat Malaysia kecewa kerana SPR tidak jujur melaksanakan tugas yang diamanahkan mengikut Perkara 114 (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Pengumuman undi pos di luar negara hanya dilakukan SPR pada 21 Januari lalu menyebabkan ramai mereka yang tinggal di luar negara gagal mendaftar sebagai pengundi pos.
“SPR sepatutnya lebih agresif jika ikhlas mahu rakyat Malaysia di luar negara mendaftar sebagai pengundi pos iaitu mengumum perkara itu sebelum Januari lagi dengan kerjasama Kementerian Luar, kedutaan dan suruhanjaya tinggi di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Ong berkata, beliau menerima banyak pertanyaan dan aduan melalui facebook, twitter dan e-mel mengenai bagaimana untuk mendaftar sebagai pengundi pos di luar negara.
Menurutnya, syarat ketat SPR yang tidak membenar rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura, Selatan Thailand, Kalimantan dan Brunei menyebabkan ratusan ribu rakyat Malaysia yang tinggal di negara berkenaan hilang kelayakan sebagai pengundi pos.
Katanya. tambahan pula laman web SPR (www.spr.gov.my) gagal dilayari pada Selasa, pada hari Parlimen dibubarkan yang juga tarikh akhir untuk memohon menyebabkan ramai tidak dapat memuat turun borang yang diperlukan dan arahan cara mendaftar sebagai pengundi pos yang di luar negara.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan