SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Seorang senator Australia memfailkan permohonan
kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan
notis yang dikeluarkan Ketua Pengarah Imigresen yang menghalang beliau
daripada memasuki Malaysia dua bulan lepas.
Nick Xenophon memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Ranjit Singh
& Yeoh semalam dan menamakan ketua pengarah Imigresen sebagai
responden tunggal.
Beliau menyatakan responden gagal mengambil kira fakta yang mempunyai
kaitan berhubung lawatannya ke Malaysia dan membuat keputusan yang
sangat tidak adil dan tidak berlandaskan undang-undang.
Beliau mendakwa lawatannya ke Malaysia adalah untuk mengambil bahagian
dalam dialog bukan partisan dan mendakwa responden bertindak atas alasan
politik dan bukannya atas alasan yang sah.
Xenophon mendakwa keputusan ketua pengarah Imigresen menghalang beliau
daripada memasuki negara ini pada 16 Februari tahun ini telah melanggari
peraturan keadilan asasi kerana gagal memberi beliau peluang untuk
mengemukakan fakta yang mempunyai kaitan dengan lawatannya itu.
Selain memohon perintah untuk membatalkan notis menghalang daripada
masuk bertarikh 16 Februari oleh responden, beliau turut memohon
perintah mandamus untuk mendesak responden supaya membenarkan beliau
memasuki Malaysia.
Beliau turut memohon ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan layak dan wajar oleh mahkamah.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan