Khamis, 11 April 2013

PRU13: Jumlah calon Pemuda Pas bertambah

Wartawan Sinar Harian

Abdul Latiff Abdul Rahman
Abdul Latiff Abdul Rahman
 
KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan mengakui akan ada pertambahan calon dari dewan itu yang diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei depan.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan tepat dan menyerahkan perkara itu kepada pimpinan tertinggi parti.

“Ya, akan ada pertambahan, tetapi kita tunggu pengumuman Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat),” katanya kepada media, semalam.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, pada PRU12 lalu, hanya tiga calon Pemuda diketengahkan.

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata, jentera pilihan raya dewan itu sudah digerakkan sejak awal bagi memastikan kemenangan Pas di Kelantan.

Menurutnya, jentera kempen juga melaksanakan pelbagai usaha dalam mendekati golongan muda termasuk menyebarkan maklumat mengenai isu semasa.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengakui menyambut baik pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian.

Menurutnya, tempoh berkempen yang agak lama membolehkan Pakatan Rakyat mendekati pengundi secara lebih selesa memandangkan penyebaran maklumat melalui media arus perdana agak terbatas.

“Saya menyambut baik langkah SPR dan ini munasabah kerana masa agak selesa bagi membolehkan setiap parti politik berkempen,” katanya.

Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan 20 April sebagai tarikh penamaan calon dan 5 Mei untuk hari mengundi, yang bermakna tempoh kempen selama 14 hari.

Mengulas mengenai calon, Mohd Amar berkata, kira-kira 30 peratus calon Pas di kawasan Parlimen dan Dun di Kelantan dijangka terdiri daripada muka baru dalam PRU13.

Menurutnya, calon berkenaan terdiri daripada pelbagai peringkat iaitu golongan profesional dan agama.

Tiada ulasan: