Khamis, 11 April 2013

Anwar: Ahli PKR tanding bebas akan dipecat

Wartawan Sinar Harian
Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
KUANTAN - Ahli PKR yang bertanding menggunakan tiket bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipecat serta-merta.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimana pun sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi mereka berhak untuk bertanding.

Menurutnya, tindakan beberapa ahli PKR Pahang yang mengumumkan untuk bertanding atas tiket bebas hanya isu kecil dan tidak menjejaskan peluang PR untuk menang di kerusi yang ditandingi.

“Mereka mungkin acah sahaja dan kita minta ahli yang terlibat menarik balik hasrat itu,” katanya dalam sidang medianya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas tanya berhubung tindakan Ketua Cabang PKR Paya Besar, Zahari Mamat yang mengesahkan akan bertanding atas tiket bebas dalam PRU13 akan datang.

Turut mengambil keputusan sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Paya Besar, Mohamad fauzi Ramli yang mengumumkan akan bertanding di Dun Lepar dan bekas Timbalan PKR Pahang, G Ramponusamy yang akan bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota.

Dalam majlis di sebuah hotel di sini Anwar mengumumkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR,  Fariz Musa yang akan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan.

Timbalan Pengarah Pilihan raya pusat PKR, Zakaria Abdul Hamid akan bertanding di Parlimen Bera.

Turut hadir calon parlimen Indera Mahkota Datuk Fauzi Abd Rahman, Fuziah Salleh yang diumumkan calon untuk pertahankan kerusi parlimen Kuantan dan peguam, Murnie Hidayah Anuar yang akan dipertaruhkan untuk merebut kerusi Parlimen Paya Besar.

Tiada ulasan: