SEREMBAN,— Menjelang hari penamaan calon pada Sabtu, PAS
Negeri Sembilan hari ini bertindak menggugurkan seorang calonnya iaitu
di kerusi Parlimen Tampin dan menggantikan dengan calon lain. \
Pesuruhjaya
PAS Negeri Mohamad Taufek Abd Ghani berkata Yang Dipertua PAS Tampin
Zakaria Khalim yang dicalonkan sebelum ini dan dijangka berdepan Menteri
Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor di kerusi itu, digantikan
dengan Razakek Abdul Rahim.
"Kedua-dua nama tersebut (Zakaria
dan Razakek) berada dalam senarai pendek untuk kerusi Parlimen Tampin
tapi menjelang saat-saat akhir ini kita berbincang semula mengenai calon
yang lebih sesuai.
"Kita mendapati Zakaria tidak bersedia
menjadi calon pada pilihan raya ini jadi kita tukar kepada calon nombor
dua dalam senarai kerusi itu iaitu Razakek," katanya ketika dihubungi di
sini hari ini.
Katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan dan
dipersetujui oleh pimpinan tertinggi PAS. Rabu lalu, Timbalan Presiden
PAS Mohamad Sabu mengumumkan Zakaria sebagai calon di kerusi Parlimen
Tampin bersama calon untuk kerusi Jelebu dan Jempol.
Pada PRU
2008 Razakek mewakili PAS tewas kepada Shaziman di kerusi Parlimen
Tampin dengan majoriti 13,079 undi, sementara Zakaria yang bertanding di
Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh pada PRU sama tewas kepada calon
BN Mohd Kamil Abd Aziz dengan majoriti 3,241. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan