Khamis, 18 April 2013

Bekas timbalan menteri kecewa, tanding Bebas di Tasek Gelugor

OTHMAN YAHYA

Bekas timbalan menteri kecewa, tanding Bebas di Tasek Gelugor
Dari kiri: Mustaffa yang bakal bertanding sebagai calon Bebas bagi Dun Telok Air Tawar; Azmi bakal calon Bebas Sungai Dua dan Adun Sungai Dua, Shariff (dua, kanan).
 
TASEK GELUGOR - Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar isytihar akan bertanding calon Bebas untuk merebut kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada pilihan raya umum ini.

Beliau akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Shahbudin Yahya dan juga calon Pas, Datuk Seri Abdul Rahman Mydin yang juga seorang tokoh korporat terkenal.

Shariff membuat perisytiharan itu di hadapan kira-kira 2,000 penyokong yang berhimpun di pekarangan rumahnya di Pokok Machang, malam kelmarin.

Perhimpunan itu bertujuan menunjuk rasa kecewa dan simpati terhadap Shariff yang tidak dicalonkan oleh BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Shariff berkata, beliau buat keputusan untuk tidak bertanding pada PRU12 setelah diminta Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk beri laluan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang tamat perkhidmatan senator.

"Saya dijanjikan hanya untuk sementara, dan pada tahun ini, saya jangka akan dicalon semula, rupa-rupanya tidak," katanya.

Shariff berkata, beliau buat keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas bukan kerana kepentingan diri atau tidak sayang Umno.

Tujuannya, kata Shariff, pastikan kerusi Parlimen Tasek Gelugor yang merupakan kubu BN, tidak jatuh ke tangan pembangkang.

"Saya mahu selamatkan pengundi di kawasan ini, juga selamatkan BN sendiri yang letak calon tidak disukai ramai," katanya.

Selain beliau, turut sama isytihar akan bertanding sebagai calon Bebas ialah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Mustaffa Idros yang akan menentang calon BN, Datuk Jahara Hamid di kerusi Dun Telok Ayer Tawar.

Sementara itu, Pengerusi Perkasa Tasek Gelugor, Azmi Alang pula akan mencabar Mohamad Yusof Mohd Noor yang dicalonkan BN di kerusi Dun Sungai Dua.

Turut  hadir, bekas Adun Sungai Dua yang tidak dicalon semula, Datuk Jasmin Mohamad dan AJK Umno Bahagian Tasek Gelugor, Dr Mohd Rozi Yusoff.

Tiada ulasan: