SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengulangi ingatan kepada pihak yang
berkenaan agar berhati-hati ketika membuat kenyataan menerusi media
sosial sepanjang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini, bagi mengelak
pelanggaran undang-undang terutama berkaitan hasutan.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli
Mohamed Yusof berkata ini berikutan perang siber semakin rancak
sekarang, membabitkan parti politik, penyokong mereka dan pelbagai pihak
lain.
"Kadang-kadang semasa kita teruja, kita menulis secara tidak
bertanggungjawab. Perkara ini dipantau polis dan Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia bagi mengelak penyebaran gejala hasutan dan
sebagainya," katanya pada taklimat media sempena PRU13, di Bukit Aman di
sini.
Ramli berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan PRU13
menerusi laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, bagi memastikan kelancaran operasi polis sepanjang
PRU13, sebanyak 11 pegawai kanan dilantik untuk memantau 14 kontinjen.
Mereka ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang
akan memantau kontinjen Negeri Sembilan, Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Bakri Zinin (Sabah), Pengarah JSJ
Komersil, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan (Kedah dan Perlis),
Pengarah Pasukan Petugas Khas, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (Perak) dan
Pengarah Pengurusan, Datuk Mortadza Nazarene (Sarawak).
Turut terbabit Pengarah JSJ Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim yang
akan memantau kontinjen Kelantan dan Terengganu, Pengarah Jabatan
Logistik Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah (Johor dan Melaka), Pengerusi
Bidang Keberhasilan Utama Negara Datuk Wira Ayub Yaacob (Pahang),
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA)
Datuk Seri Salleh Mat Rasid (Kuala Lumpur), sementara Timbalan Pengarah
II Cawangan Khas Datuk Eo Chong Cheong memantau kontinjen Pulau Pinang
dan Pengarah I JKDNKA Datuk Abd.Rahman Hussin (Selangor).
Kata Ramli sepanjang PRU13 juga Bukit Aman akan mengadakan taklimat media sebanyak dua kali sehari.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan