Kecaman tersebut timbul ekoran pendirian mereka yang bersifat assabiyah dan perkauman.
PETALING JAYA: Sebuah badan hak asasi manusia, Pergerakan As Sajjad hari ini mengecam pencalonan dua ahli Umno, Zulkifli Noordin dan Fathul Bari Mat Jahaya, pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) 5 Mei ini.
Zulkifli diumumkan sebagai calon di kerusi Parlimen Shah Alam manakala Fathul Bari, pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), diumumkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang, Perlis.
Pencalonan Zulkifli, yang juga adalah Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk P 108 Parlimen Shah Alam gagal menjelmakan semangat dan pendekatan holistik dan terkehadapan Barisan Nasional dalam isu-isu perhubungan kaum atau etnik,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media.
Kritikan terhadap Zulkifli timbul ekoran kemunculan rakaman video Youtube yang menunjukkan Zulkifli menghina konsep ketuhanan dalam agama Hindu.
Pergerakan As Sajjad juga kecewa dengan pencalonan Fathul Bari ekoran kenyataan Fathul yang bersifat anti-Syiah.
“Beliau telah melakukan pemomokan dan fitnah yang serius terhadap minoriti Syiah di negara ini.
“Kami berpendapat pencalonan Fathul Bari adalah bertentangan dengan semangat Deklarasi Islamabad 2007 yang menggariskan bahawa tiada umat Islam dibenarkan membunuh atau membahayakan umat Islam lain, samada Syiah atau Sunni,” kata kumpulan tersebut.
As Sajjad turut mengkritik penyertaan anggota kumpulan Ikatan Muslim Malaysia (Isma) yang bertanding di lapan kerusi parlimen atas tiket Barisan Jemaaah Islamiyah Semalaysia (Berjasa) kerana mereka bersifat perkauman.
Manifesto calon Berjasa menyatakan bahawa mereka bertanding untuk “menebus kembali hak dan kuasa politik Melayu-Islam di Parlimen dan Dewan Undangan-Dewan Undangan Negeri-Negeri tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan