Ahad, 7 April 2013

Pakatan: Manifesto BN ciplak idea kami, tak mesra rakyat

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN DAN JAMILAH HAMZAH

Manifesto
Manifesto
 
SHAH ALAM - Di sebalik keyakinan Barisan Nasional (BN) bahawa manifesto yang dibentang malam tadi memenuhi aspirasi rakyat, pembangkang menyifatkan ia sebagai satu janji yang hambar, tidak ada keaslian dan kontang idea.

Malah paling teruk, ia hanya merugikan rakyat, kata pemimpin-pemimpin PR.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, manifesto BN jelas menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang sememangnya dihimpit oleh tekanan ekonomi.

"Apabila duit ini disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah, ini bermakna BN akan terus selama-lamanya mengekalkan rakyat Malaysia sebagai rakyat berpendapatan rendah," ujar beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Menurut Saifuddin, hasrat kerajaan menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM1,200 kepada rakyat berpendapatan kurang RM3,000 adalah satu usaha ke arah memastikan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

"Ini berbeza dengan pendekatan Pakatan Rakyat, pendekatan Pakatan Rakyat ialah menyelesaikan masalah struktur ekonomi dan pendekatan untuk melegakan tekanan hidup rakyat yang berupa meningkatnya kos kehidupan," ujar beliau lagi.

Manifesto BN yang bertemakan "Menepati Janji Membawa Harapan" malam tadi antaranya menggariskan penambahan pemberian BRIM bagi setiap isu rumah, baucar buku dan bantuan persekolahan.

BN juga berhasrat menurunkan harga kereta dan mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat-peringkat.

Menurut Saifuddin, tawaran itu adalah idea ciplak yang diambil dari manifesto popular perikatan pembangkang itu.

"Mereka nampaknya tak ada pilihan.

"Mereka mengulangi tawaran yang mereka kata boleh membankrapkan negara tetapi Barisan Nasional kini terpaksa menjilat kembali ludah mereka," ujarnya lagi.

Pakatan menerusi manifesto yang dibentangkannya Februari lalu antara lain akan memastikan harga kereta di negara ini dapat dibeli dengan harga serendah RM25,000.

Perikatan itu juga akan memastikan tol dihapuskan dengan mengambi alih lebuhraya secara berperingkat-peringkat.

Ia juga berhasrat untuk memastikan setiap keluarga di Malaysia membawa pulang sekurang-kurangnya pendapatan RM4,000 sebulan selepas penggal pertama pentadbirannya.

Sementara itu, menurut Naib Presiden DAP,  M. Kulasegaran, manifesto yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah manifesto untuk membeli undi.

"Ini manifesto untuk menang dalam pilihan raya sahaja. Bukan untuk menyenangkan masyarakat Malaysia atau satu haluan yang baik," katanya.

Malah katanya, manifesto itu juga tidak menekankan secara khusus bagaimana kerajaan mahu melaksanakan pentadbiran negara dengan membina ekonomi yang lebih kukuh di masa akan datang.

"Walaupun dalam keadaan sekarang ekonomi kita tenat kerana masalah defisit, mereka mahu laksanakan manifesto seperti ini.

"Ia seperti kerajaan yang hendak merosakkan rakyat dengan memberi wang," tambah beliau.

Ujarnya, berbanding BN, Pakatan Rakyat akan sentiasa dari semasa ke semasa memperhalusi manifestonya demi kesejahteraan rakyat.

"Itu adalah satu keperluan kepada mana-mana parti politik pun," ujar beliau.

Sementara itu, menurut Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, manifesto BN adalah janji untuk meraih keuntungan politik semata-mata.

"Tawaran BN yang pada mulanya menggunakan pendekatan one-off kini dijadikan pemberian tahunan dilihat sebagai terdesak untuk menang PRU13," ujar beliau.

Bahkan ujarnya, jika dilihat daripada jumlah peruntukan yang akan digunakan BN untuk mengurus negara lima tahun akan datang, ia jauh lebih besar daripada apa yang dipentukkan oleh PR.

"Oleh itu tawaran PR juga turut munasabah seperti BN," katanya membidas dakwaan kononnya manifesto PR hanya akan membankrapkan negara.

Tiada ulasan: