Selasa, 23 April 2013

Nasib lu lah UMNO Selangor!

Tindakan BN meletakkan Zulkifli Nordin sebagai calonnya di Shah Alam di mana keseluruhan pengundinya terdiri dari gulungan kelas menengah adalah satu tindakan memandang rendah serta memperbodohkan masyarakat Shah Alam. Jangan disangkal lagi pandangan saya ini.


Kita tahu UMNO sudah hilang daya pertimbangan dalam banyak hal, tetapi tidak pula kita tahu yang parti itu sudah hilang segala hidayahnya. Meletakkan Zulkifli Nordin, seorang buangan PAS suatu ketika dahulu adalah satu lawak jenaka dan ini meletakkan Khalid Samad dalam keadaan selesa. Sekarang Khalid Samad mungkin boleh keluar kawasan untuk membantu rakan-rakan calon PAS yang lain yang memerlukan pertolongan tenaga kempen mereka.

Kita tidak perlu menzahirkan apa keburukkan yang ada kepada Zulkifli Nordin ini kerana beliau sendiri telah menunjukkan kepada masyarakat siapa beliau yang sebenarnya. Hanya yang hendak disebut sedikit ialah siapa yang mencadangkan nama Zulkifli ini menjadi calon BN di Shah Alam ini.

Semalam Najib seolah-olah berkata Zul ini adalah seorang pejuang untuk kaum India tetapi Vell Pari (MIC) telah menjerit ke sana dan ke mari mengatakan kepada pimpinan UMNO tindakan meletakkan Zulkifli ini sebagai calon BN kali ini adalah tindakan membunuh diri bagi BN terutamanya MIC yang sedang berhadapan dengan persoalan yang banyak dari kaum India.

Tetapi apakan daya, jika pimpinan tertinggi UMNO sendiri sudah hilang hidayah tiada siapa yang boleh menolongnya. Beberapa orang rakan saya dalam UMNO memberitahu saya yang pencalonan Zulkifli Nordin ini adalah tindakan gila, kerana UMNO sepatutnya mencari calon yang benar-benar tidak mempunyai ‘baggage’ seperti Zulkifli ini, kerana yang hendak di lawan ini adalah Khalid Samad, seorang pemimpin yang secara rata-rata di hormati masyarakat.

Khalid Samad adalah seorang yang mempunyai keperibadian yang tinggi jika dibandingkan dengan mana-mana pimpinan UMNO sendiri. Justeru meletakkan Zulkifli yang begitu ‘controversial’ itu adalah tindakan seolah-olah UMNO sudah mengangkat bendera putih dalam peperangan. Tindakan BN meletakkan Zulkifli Nordin di Shah Alam itu seolah-olah UMNO tidak mempunyai calon yang berkelayakan untuk menentang Khalid Samad dari PAS itu.

Mungkin tindakan meletakkan Zulkifli ini di Shah Alam ini adalah seperti kata pepatah, ‘tak ada rotan akar pun berguna juga’. UMNO sudah tidak ada yang berani melawan Khalid Samad, maka mereka meletakkan sesiapa sahaja yang mahu dan berminat untuk bertanding. Asalkan Khalid tidak menang tanpa bertanding, meletakkan Zulkifli Nordin pun jadilah... Zul pun Zul lah, asalkan ada calon UMNO dan BN.

Setakat ini hanya sudah ada satu kawasan dimana UMNO sudah kalah, iaitu di Pasir Mas. Di Pasir Mas ini pun UMNO ditipu oleh orang kuat Perkasa juga, sama seperti UMNO ditipu di Shah Alam.

Kalau Perkasa pun boleh menipu UMNO maka UMNO sememangnya layak ditipu oleh sesiapa juga. Dalam peti undi nanti ahli-ahli biasa mereka juga mempunyai kecenderungan untuk menipu UMNO dengan memangkah parti-parti pembangkang.

Bak kata anak-anak muda sekarang, ‘nasib lu lah UMNO’... 'Beban yang tersedia ada sudah berat, batu pula di galasnya'. Kalau sudah hilang hidayah tiada siapa yang boleh membantunya.

Tiada ulasan: