Isnin, 22 April 2013

Najib turun padang di Selangor

SINAR HARIAN
Najib Tun Razak
Najib Tun Razak melambaikan tangan semasa mengadakan tinjauan di Bandar Baru Selayanghari ini. Turut kelihatan calon BN, Subahan Kamal (tiga, kanan). - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memulakan lawatan turun padang di Selangor sempena pilihan raya umum ke-13 dengan mengadakan tinjauan mesra di Bandar Baru Selayang yang terletak dalam kawasan Parlimen Selayang dekat sini.

Perdana menteri yang tiba dengan menaiki bas tertera "Menepati Janji Membawa Harapan" disambut calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam kawasan Parlimen Selayang  dan kira-kira 2,000 penduduk Selayang.

Najib, yang berkemeja biru dan bertopi putih, meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah-mesra dan bersalaman dengan orang ramai di sekitar Bandar Baru Selayang  sebelum menikmati sarapan di Restoran Rumpun Selera.

Turut serta dalam program itu ialah calon kerusi Parlimen Selayang Datuk Donald Lim Siang Chai, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang Datuk Abdul Shukur Idrus,  calon DUN Rawang Lee Li Yew dan calon DUN Taman Templer Datuk Seri Subahan Kamal.

Najib yang mempunyai jadual padat di Selangor hari ini kemudian meneruskan kunjungan ke kawasan Parlimen Gombak.

Najib juga akan turun padang ke kawasan Parlimen Kota Raja, Shah Alam dan Subang.- Bernama

Tiada ulasan: