Ahad, 7 April 2013

Najib jelas sebab pilih Stadium Putra lancar manifesto BN

SINAR HARIAN

manifesto BN stadium putra
Suasana Stadium Putra Bukit Jalil pada Perhimpunan Janji 1Malaysia sempena Majlis Pelancaran Manifesto BN malam ini. - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Pelancaran manifesto Barisan Nasional (BN) malam ini diatur untuk membolehkan seluruh rakyat menghayati bersama-sama pencapaian dan janji-janji BN jika diberi mandat baharu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelancaran itu dibuat di stadium tertutup juga adalah bagi menunjukkan keseriusan dan komitmen BN kepada rakyat.

Sambil menyifatkan perhimpunan malam ini sebagai begitu luar biasa, perdana menteri berkata, pada mulanya BN bercadang untuk melancarkan manifesto gabungan parti itu di Stadium Merdeka atau di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"(Tetapi) kita pilih stadium tertutup kerana malam ini adalah malam yang meriah tapi juga serius. Malam yang meriah kerana kita dapat berhimpun menunjukkan kekuatan BN. Namun malam ini juga malam yang serius kerana kita membentangkan manifesto BN... kerana ia adalah satu dokumen yang amat serius.

"Perhimpunan malam ini begitu luar biasa. Dalam pengalaman hidup selama 37 tahun dalam politik, saya berani mengatakan perhimpunan malam ini paling hebat yang pernah saya lihat," katanya berucap di hadapan ribuan penyokong BN di dalam dan luar Stadium Putra Bukit Jalil di sini.

Majlis pelancaran itu dihadiri lebih 50,000 penyokong BN termasuk barisan pemimpin parti-parti komponen BN yang berdiri bersama Pengerusi BN di atas pentas.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Duta Khas Infrastruktur bagi India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu.

Suasana perhimpunan diselubungi 'lautan biru' dengan hadirin dan juga para pemimpin memakai baju berwarna biru berserta simbol dacing.

Para penyokong parti-parti komponen BN datang dari seluruh pelusuk negara dengan membawa kain rentang kawasan pilihan raya masing-masing selain plakad yang tertera ungkapan 'I Love PM' dan 'I Love BN' serta bendera BN.

Bagi yang tidak berpeluang memasuki stadium, skrin besar disediakan untuk memaparkan secara langsung perkembangan yang berlaku di dalam stadium.

Sementara menantikan majlis bermula hadirin menyanyikan beberapa lagu patriotik seperti Barisan Kita, Barisan Nasional dan 1M4U.

Seawal 6.30 petang laluan menghala ke Stadium Putra Bukit Jalil yang dihiasi dengan banting berwarna biru mulai sesak dengan kenderaan yang bergerak perlahan. Turut kelihatan ialah bas-bas yang membawa penyokong BN dari seluruh negara. - Bernama

Tiada ulasan: