Oleh FAIZ ABDULLAH
DALAM
sirkit ceramah Pakatan Rakyat di kawasan majoriti Melayu, kehadiran
penceramah bukan Melayu boleh dibilang dengan jari. Kalau ada pun sekali
sekala. Mungkin gaya penyampaian penceramah bukan Melayu kurang
menambat hati pendengar orang Melayu dan mungkin juga pemimpin itu
kurang popular atau kurang menonjol di kalangan penyokong berbangsa
Melayu.
Suatu
ketika dulu, Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan merupakan
penceramah bukan Melayu paling top dalam sirkit ceramah PAS dan
KeADILan. Beliau dianggap 'crowd puller' walaupun di lokasi majoriti
Melayu termasuk di Kelantan. Namun kini itu semua tinggal sejarah kerana
Gobala tidak lagi bersama KeADILan-Pakatan Rakyat.
Ahli
Parlimen Batu, Tian Chua (KeADILan) dan Adun Sekinchan, Ng Swee Lim
(DAP) merupakan nama bukan Melayu yang tidak asing dalam pentas ceramah.
Tetapi secara keseluruhannya penceramah bukan Melayu boleh
dikategorikan sebagai jarang muncul di dalam 'crowd' Melayu.Kalau ada
pun cuma membabitkan pemimpin tempatan bukan Melayu di negeri
masing-masing. Jarang dapat melihat mana-mana pemimpin bukan Melayu
muncul di atas pentas ceramah di kawasan majoriti Melayu di serata tanah
air secara 'regular' melainkan di negeri asal mereka sendiri.
Kini
penantian peminat ceramah Pakatan Rakyat berakhir apabila nama Ahli
Parlimen Kapar, S Manikavasagam mula meniti di bibir penyokong Melayu
PAS dan KeADILan. Ini terbukti melalui kemunculannya di Paroi dan Felda
Palong, Negeri Sembilan; Sembrong dan Paloh, Johor; Bera, Kuala Krau dan
Temerloh, Pahang; Bandar Baru Kulim, Kedah; Sabak Bernam dan Sungai
Besar, Selangor dan Jasin, Melaka.
Harakah
mengikuti beberapa siri ceramah PAS dan KeADILan di kawasan majoriti
Melayu yang menampilkan Manikavasagam sebagai salah seorang
penceramah.Ternyata Manikavasagam sudah dapat mencuri hati penyokong.
Dikatakan Manikavasagam yang lebih popular dengan panggilan Mike di
kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat masih belum mencapai
status 'crowd puller' di sirkit ceramah peringkat nasional kerana masih
banyak Kawasan PAS dan Cabang KeADILan yang tidak menyedari
kehadirannya..
Penguasaan
bahasa Melayu Mike yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KeADILan,
adalah baik. "Mike faham budi bahasa dan adat sopan santun orang
Melayu. Walaupun dia buat sindiran terhadap pemimpin Barisan Nasional
tertentu, tetapi sindiran beliau berhemah dan disulam pula dengan elemen
lawak jenaka. Beliau mampu membuatkan orang ramai pecah perut dengan
gelak ketawa. Audien Melayu boleh terima dengan mudah dan faham fakta
serta hujah yang disampaikan oleh Mike," kata Setiausaha Perhubungan PAS
Negeri Sembilan, Mohd Hassan Tamby.
Berdasarkan
pemerhatian Harakah, Mike yang berumur 48 tahun; juga tidak lokek
merakamkan penghargaan kepada PAS secara terbuka di atas sumbangan
jentera PAS Kapar ketika beliau bertanding dalam pilihan raya di Kapar
pada Mac 2008.
"Ketua
Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengarahkan saya untuk
bertanding di Kapar pada PRU12 pada Mac 2008. Ketika itu saya cuma
mempunyai 12 ahli KeADILan sahaja untuk membantu saya berkempen di
Kapar. Saya tidak akan lupa jasa ahli-ahli PAS Kapar yang membantu saya
berkempen di Kapar termasuk kerja-kerja persiapan ceramah, menampal
poster, memasang bendera dan pengedaran risalah. Saya juga tidak akan
lupa jasa Dr Abdul Rani Osman (Adun Meru dan Pesuruhjaya PAS Selangor)
yang turut menghantar 'orang' beliau untuk membantu saya berkempen.
"Sekarang
pun Dr Abdul Rani dan Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali yang juga dari
PAS banyak membantu pengundi saya di Kapar. Tidak lupa Adun Sungai
Pinang, Dato' Teng Cham Kim. Dun Meru, Selat Klang dan Sungai Pinang di
bawah Parlimen Kapar," jelas Mike kepada lebih 1,000 hadirian,
kebanyakannya orang Melayu di Senawang dalam program ceramah PAS Rembau
malam minggu lalu.
Selama
sejam Mike berceramah, hilaian gelak ketawa daripada orang ramai tidak
putus-putus kedengaran apabila mendengar ucapannya yang 'panas' tapi
kelakar.
Mike
juga menyentuh beberapa isu terkini termasuk kes pembunuhan ahli
perniagaan Dato' Sosilawati Lawiya, yang boleh diklasifikasikan sebagai
rahsia atau sensitif. Penulis tidak mahu berkongsi intipati isu itu di
sini, sebaliknya biarlah pembaca mengetahui sendiri jika Mike berceramah
di tempat anda nanti. Bukan mudah membuat penonton gelak, tapi Mike
mempunyai 'skill' (kemahiran) tersendiri untuk mengamatkan sirkit
ceramah Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan