Oleh ZULKIFLI YAHAYA
SELAKU Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, saya menawarkan diri untuk mengajar tuisyen bahasa Melayu secara
percuma kepada Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrol Hisham Hashim serta
serta para pemimpin BN negeri ini yang tidak memahami maksud ayat:
“Sebanyak 12 buah masjid telah dibina sejak 2008 sebagaimana senarai
berikut:..” yang terkandung dalam buku Sayangi Kedah Sejahtera. Buku
tersebut merupakan catatan pencapaian kerajaan Pakatan Rakyat sepanjang
sepenggal mentadbir kerajaan negeri. Ia diterbit dan diedarkan selepas
genap lima tahun Pakatan mengambil alih kerajaan negeri dari BN
Badrol
Hisham memimpin sekumpulan pemuda bersama dengan Pengarah Unit
Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi Negeri
Kedah, Dato' Azmi Lateh mengadakan sidang media di pejabat ICU untuk
menghentam kerajaan negeri kerana kononnya pihak negeri telah menipu
rakyat dengan mengakui bahawa 12 buah masjid yang terbina di Kedah sejak
Mac 2008 adalah dibina oleh kerajaan negeri.
Lima
tahun Pakatan mentadbir Kedah, tidak pernah sekalipun mana-mana parti
dalam Pakatan mengadakan sidang media bersama Setiausaha Kerajaan Negeri
atau mana-mana pegawai negeri untuk menghentam pembangkang (BN) dalam
isu politik. Itulah bezanya Pakatan berbanding BN, yang tahu membezakan
profesionalisme pegawai kerajaan dengan kerja-kerja politik.
Ketua
Pemuda Umno tersebut mendesak Menteri Besar meminta maaf daripada
kerajaan BN Pusat kerana 'mengaku' membina masjid, walhal kata mereka,
kerajaan Pusat yang membinanya. Badrol Hisham memang wajar disekolahkan
semula, khususnya mempelajari bahasa Melayu asas kerana dalam ayat yang
tertera dalam buku 'Sayangi Kedah Sejahtera' langsung tidak menyebut
bahawa, masjid itu telah dibina menggunakan sumber kewangan kerajaan
negeri semata-mata. Lebih teruk lagi jika beliau serta para pemimpin
Umno yang lain memahami maksud ayat tersebut sebagai ‘PAS mengaku
membina masjid’.
Perkara
paling kelakar bagi gerombolan Pemuda Umno itu ialah mengugut mahu
menyaman kerajaan negeri jika Menteri Besar enggan meminta maaf. Entah
apa 'locus standi' mereka untuk berbuat demikian, sebab mereka hanya
sebuah pertubuhan politik yang menjadi pembangkang di Kedah. Macam kata
Ustaz Ismail Kamus yang sangat masyhur, baru buka mulut nampak macam tak
tahu apa-apa. Sekali buka mulut bercakap, sah memang tak tahu apa-apa
hingga tampak kejahilan mereka.
Untuk
pengetahuan pihak yang keliru dengan isu pembinaan masjid, perkara
paling penting yang perlu mereka fahami ialah urusan masjid atau segala
perkara yang berkaitan dengan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa
kerajaan negeri yang dinaungi terus oleh KDYMM Sultan negeri Kedah.
Pembinaan
masjid tidak dapat lari daripada tanggungjawab pihak berkuasa agama
negeri, penyediaan tapak oleh kerajaan negeri, sumbangan kewangan oleh
Jabatan Zakat Negeri serta menguruskan sumbangan derma dan wakaf orang
ramai. Peranan itu tidak jauh berbeza dengan tugas kerajaan Pusat yang
mengutip duit cukai dari rakyat jelata dan cukai terkumpul itu yang
disalurkan untuk membina masjid. Bezanya ialah jumlah peruntukan Pusat
lebih besar berbanding Negeri, bersesuaian dengan status, kemampuan dan
peranan masing-masing. Dalam hal ini sepatutnya Umno yang berasa malu
kerana mengaku duit yang bersumberkan poket rakyat (duit cukai) untuk
pembinaan masjid sebagai duit Umno.
Jika
Umno berhujah, sebahagian besar peruntukan bina masjid itu adalah dari
Pusat bukannya Negeri, justeru tiada satu pun masjid yang dibina oleh
kerajaan Pakatan, maka ia sama saja kedudukannya dengan Umno yang 50
tahun mentadbir Kedah dahulu; tiada satu pun masjid yang mereka bina.
Semuanya peruntukan Pusat!
Senarai
pembinaan 12 buah masjid itu dimasukkan dalam buku Sayangi Kedah
Sejahtera sebagai menjelaskan tohmahan bahawa sepanjang satu penggal
pemerintahan Pakatan Rakyat tiada masjid yang terbina di Kedah. Di
samping menjelaskan bahawa kerajaan negeri tetap berperanan dalam urusan
pembinaan masjid.
Kepada
pihak Pemuda Umno Kedah yang beriya-iya untuk mengaku menjadi ‘hero
bina masjid’ eloklah menghentikan tindakan kebudak-budakan itu. Apa yang
lebih penting sebagai umat Islam ialah memakmurkan Rumah Allah bukan
setakat berbangga kononnya mereka adalah jaguh bina masjid, sedangkan
sumber pembinaan masjid itu pun adalah dari hasil cukai yang dikutip
daripada rakyat dan korporat.
Di
zaman Rasulullah s.a.w. ada masjid yang dibina oleh puak munafik
bertujuan menyaingi masjid yang Quba' dibina oleh baginda. Ia mendapat
penajaan daripada musuh Islam untuk membinanya. Masjid yang digelar
Masjid Dhiror itu lebih hebat, besar dan cantik namun tiada mendapat
sambutan daripada umat Islam. Niat membina masjid itu pun sudah tidak
betul kerana mahu menyaingi pihak lain dan mahu memecahbelah umat Islam
ketika itu yang bersatu di masjid Quba'.
Sepatutnya
masjid menjadi simbol perpaduan umat Islam tetapi nampaknya Umno Kedah
menjadikan isu masjid ke arah perpecahan. Mereka menyerang kerajaan
negeri hingga ke peringkat mahu membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Sukar juga nak faham bagaimana Umno memahami konsep masjid dan Islam itu
sendiri. Nampak semacam Umno sebagai peneraju kerajaan Pusat tidak
ikhlas dalam membina masjid. Buat masjid untuk menunjuk-nunjuk dan
memberitahu seluruh dunia bahawa, ‘kami yang bina masjid’?
Bagaimanapun
saya berterima kasih kepada pihak yang mensensaikan isu ‘pembinaan
masjid’ ini kerana akibat tindakan tersebut maka buku Sayangi Kedah
Sejahtera mencari buruan orang ramai sehingga ia terpaksa diulang cetak.
Secara tidak langsung banyak maklumat lain mengenai pencapaian kerajaan
Pakatan Kedah selama sepenggal tersebar kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan