KUALA LUMPUR, — Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Malaysia
hari ini melahirkan rasa terkejut dengan kematian jurukamera Radio
Television Malaysia (RTM) selepas pergaduhan dengan seorang penyokong
parti politik di Gua Musang, Kelantan.
Presidennya Mokhtar
Hussain berkata adalah menyedihkan apabila seorang wartawan perlu
membayar dengan nyawanya tatkala berlangsungnya kempen bagi pilihan raya
umum ke-13.
Jurukamera itu, Mohamed Yaakub, 61, meninggal dunia
akibat serangan jantung di rumahnya di Bandar Lama di Gua Musang pada
kira-kira 12.45 pagi.
Beliau sebelum itu terlibat dalam
pergaduhan dengan seorang penyokong parti politik yang kereta penyokong
itu menghalang laluan ke rumahnya yang terletak berhampiran dengan
markas PAS. Mokhtar berkata semua pihak terlibat dalam kempen pilihan
raya perlu menjaga emosi mereka dan tidak melepaskan kemarahan kepada
pihak lain termasuk wartawan.
Di Kota Baharu, Kelab Media Kelantan melahirkan kebimbangan dengan insiden itu.
Presidennya
Anwar Aminuddin Hussin, menggesa insiden itu disiasat, menyatakan
serangan terhadap wartawan yang mengakibatkan kematiannya adalah perkara
serius.
Di Kuala Terengganu, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat)
berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku. Presidennya Ayob
Mamat menasihatkan semua pengamal media agar berhati-hati ketika
menjalankan tugas terutamanya semasa membuat liputan berita kempen
pilihan raya ini. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan