KUALA SELANGOR : Kecemerlangan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dalam tempoh lima tahun mentadbir Selangor diharap dapat terus dikekalkan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti demi membawa lebih manfaat kepada rakyat.
Dengan pelbagai program kebajikan di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), rakyat masih ketagih lagi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban, sesuatu yang tidak pernah dirasai berpuluh tahun sebelum ini.
Berasal dari Jeram, Mohd Sahar Abdul Rahman 67, tanpa berselindung menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri yang ada untuk terus diberi mandat menerajui Selangor.
“Dulu kita tidak dapat apa, lagi ditekan adalah. Namun keadaan sejak lima tahun lalu adalah sangat berbeza dengan pelbagai program kebajikan seperti untuk warga emas; Jom Shopping dan Khairat Kematian dan sebagainya.
“Diharap pada masa hadapan, Kerajaan Negeri jika dikekalkan dapat terus memperbanyakkan program kebajikan dengan penambahbaikan program sedia ada demi manfaat pada seluruh rakyat tidak kira siapa,” ujar Sahar yang ditemubual ketika program Jom Shopping Dun Ijok pagi tadi.
Sementara itu, Norainatul Fitriah Husain 24, turut berkongsi pendapat yang sama, dengan menekankan peluang mentadbir sesebuah kerajaan perlu diberi kepada parti yang mengutamakan kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
“Dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini, penting untuk memilih kerajaan yang mengutamakan dasar-dasar yang dapat membantu rakyat.
“Kerajaan (Negeri) yang ada sekarang ini memang kita dapat lihat komitmennya membantu rakyat tanpa mengabaikan pembangunan lain, jadi kita berterima kasih serta berharap prestasi ini dapat dikekalkan dan diteruskan,” ujar ibu tunggal yang berasal daripada Batang Berjuntai ini.
Terdahulu, seramai 160 orang peserta terdiri daripada warga emas dan ibu tunggal daripada DUN Ijok menyertai Program Jom Shopping di Pasaraya Econsave Alam Jaya di sini.
Menteri Besar yang juga Adun Ijok, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut hadir beramah mesra dan menemani para peserta membeli belah sebelum berangkat ke Bestari Jaya bagi menyertai satu program lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan