Jumaat, 12 April 2013

Hee Yit Foong tidak bertanding Pilihan Raya 2013

THE MALAYSIAN INSIDER
 


KUALA LUMPUR ― Datuk Hee Yit Foong yang pernah satu ketika digelar wanita paling dibenci di Perak mengesahkan untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang pada pilihan raya 5 Mei akan datang.

Hee walau bagaimanapun berkata akan tetap menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya 2013.

Hee (gambar)mula dikenali ramai disebabkan oleh peranan yang dimainkannya dalam krisis perlembagaan di Perak yang menyaksikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) berusia 10 bulan itu tumbang.

Pada ketika itu, bekas timbalan speaker DUN dari DAP itu meninggalkan parti tersebut dan PR dan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN bebas mesra BN.

“Saya akan membantu berkempen untuk calon BN,” katanya dipetik dari The Star Online.

Hee turut berharap agar BN akan meletakkan calon tempatan yang dilahirkan dan membesar di sana.

“Masyarakat di kawasan itu menyuarakan hasrat untuk memiliki pemimpin yang berasal dari Jelapang.

“Saya enggan mencampuri urusan pencalonan tetapi berharap pucuk pimpinan parti akan mendengar suara rakyat,” katanya lagi.

Perak adalah satu negeri yang perlu diperhatikan dalam Pilihan Raya 2013 kerana kedua-dua BN dan PR yakin mereka mampu memenangi hati pengundi di negeri kaya dengan perusahaan bijih timah itu satu ketika dahulu.

Pilihan Raya 2013 akan berlangsung pada 5 Mei dengan kempen rasmi selama 15 hari.

Pemerhati mengatakan BN mampu terus berkuasa, akan tetapi tidak mustahil untuk PR membuat kejutan.

Tiada ulasan: