Selasa, 9 April 2013

Hadi: Lepas 50 tahun baru BN janji turun harga kereta


Wartawan Sinar Harian
Abdul Hadi Awang
Hadi Awang menyampaikan hujah pada program Bicara Minda dan Sesi Berdialog. - Foto Sinar Harian
 
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Sementara demam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) terus meningkat dengan kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) sudah mengumumkan manifesto masing-masing, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyindir BN sambil berkata ia baru berjanji untuk menurunkan harga kereta.

Kata Hadi, beliau hairan kerana BN yang memerintah negara sejak 1957, baru sekarang mahu bertindak demikian, itu pun selepas PR mengumumkan manifestonya akhir Februari lalu.

Bila cakap tentang manifesto, bermakna ia tentang janji. Barisan Nasional memang macam itu, yang dia janji itu, dia tak buat lagi," katanya dalam program Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian.

Hadi ditanya, sama ada manifesto yang dibentangkan BN Sabtu lalu sebagai manifesto yang menjamin kebajikan negara.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, memang sudah menjadi tradisi dalam BN, pihaknya hanya tahu menabur janji, namun tidak pernah tahu untuk melaksanakannya.

"Masalah BN telah memerintah 50 tahun lebih, mengapa tak buat lagi (negara kebajikan)," katanya menjawab soalan hadirin.

Perkara itu katanya jauh berbeza di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan dasar baik untuk rakyat walaupun secara sederhana dan berperingkat-peringkat.

"Kita baru memerintah empat tahun lebih di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, sekejap di Perak, Terengganu, Kelantan, kita buat sekadar kemampuan yang kita ada," ujar Hadi.

Hadi turut menolak dakwaan kerajaan negeri di bawah pembangkang pada hari ini juga gagal melunaskan manifesto pilihan raya lalu.

"Kita tak buat langsung itu tak betul," ujarnya.

Namun katanya, harus diingat tanggungjawab pembangunan sepertimana yang terkandung dalam manifesto BN sememangnya adalah tangggungawab kerajaan pemerintah.

"Parti yang memerintah adalah parti yang memegang amanah. Tetapi bagaimana mengendalikan duit itu?

"Siapa jadi kerajaan, ia mesti buat pembangunan," ujar Hadi sambil menambah sebab itulah Pas tidak pernah merobohkan sebarang masjid yang dibina oleh kerajaan BN di Kelantan.

BN dalam manifestonya yang dibentangkan Sabtu lalu menjanjikan pembangunan dan kemudahan prasarana bertaraf dunia jika terus diberi mandat.

BN antaranya berjanji akan memperbanyakkan lorong dan susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan.

Pihaknya juga berjanji untuk membina 2,300km Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Semantan di Sarawak hingga ke Serudong di Sabah.

BN juga akan mempertingkatkan bekalan tenaga elektrik kepada 6,000 rumah lagi di Semenanjung, 60,000 rumah di Sabah dan 80,000 rumah di Sarawak.

Hadi dalam ucapannya turut menempelak mengapa baru sekarang BN terfikir untuk mengurangkan harga kereta dalam manifestonya walaupun sudah mentadbir negara lebih 50 tahun.

"Bila kita buat (turunkan harga kereta) baru mereka tahu (boleh buat)," ujar Hadi sebelum menerima tepukan gemuruh hadirin.

Isu itu dibangkitkan ketika rakyat mula membincangkan kandungan manifesto yang dibincangkan oleh BN kelmarin dan PR 25 Februari lalu.

Antara lain manifesto PR menjanjikan penurunan harga kereta jika berpeluang membentuk kerajaan pusat.
Aspek yang sama yang dijanjikan menerusi manifestonya iaitu menyemak semula Dasar Automatif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus.

Kedua-dua manifesto itu, yang mencerminkan kelahiran sistem dua parti, dilihat cuba bersaing satu sama lain menjelang hari pengundian PRU13.

Tiada ulasan: