Ahad, 21 April 2013
Fenomena ahli parti bertanding calon bebas tidak gugat BN, kata Ghani
Menurut penyandang menteri besar Johor itu, ianya adalah suatu fenomena baru di Johor dan pucuk pimpinan parti sudah pasti akan mengambil tindakan terhadap mereka.
“Mungkin ada pecahan undi, tapi sokongan itu cukup untuk pertahankan kerusi tersebut ... tindakan disiplin akan diambil kepada ahli yang bertanding bebas, ini suatu fenomena baru di Johor, agaknya itu dah berlaku, ia banyak lagi kali ni di merata tempat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Anugerah Kecemerlangan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kangkar Pulai di sini.
Calon kerusi Parlimen Gelang Patah itu juga melahirkan keyakinan bahawa penyokong parti masih lagi setia walaupun terdapat segelintir pemimpin daripada BN yang mengambil tindakan sedemikian.
“Maka kita hadapi apa yang berlaku, saya percaya ahli parti masih setia, walaupun ada yang meragam dan ambil keputusan (bertanding) bebas.
“Rata-rata jelas bahawa ahli parti kukuh setia,” tegasnya.
Sesi penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei depan menyaksikan beberapa kerusi ditandingi lebih dari dua penjuru, malah ada antaranya sehinggan enam dan tujuh penjuru.
Kebanyakan calon bebas itu adalah pemimpin daripada parti yang tidak diletakkan dalam senarai calon.
Antara mereka termasuklah Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Selain itu, bekas timbalan menteri Umno, Datuk Seri Mohd Shariff Omar turut bertanding di Parlimen Tasek Gelugor sebagai calon bebas.
Timbalan Ketua Umno Cawangan Felda Adela Mohd Azaman Johari turut bertanding atas tiket bebas di Parlimen Pengerang.
Bagi Pakatan Rakyat (PR), dua pemimpin DAP turut mengambil tindakan sama, apabila bertanding sebagai calon bebas selepas nama mereka tidak terpilih sebagai calon untuk PRU 13 kali ini.
Antaranya adalah Jenice Lee, yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, yang mahu mempertahankan kerusinya selepas DAP tidak mencalonkan namanya, serta Sim Tong Him, yang bertanding atas tiket bebas di kawasan DUN Laksamana.
Pucuk pimpinan parti komponen BN dan Pakatan Rakyat mengambil keputusan melucut keahlian mana-mana ahli mereka yang bertanding atas tiket bebas.
Abdul Ghani melawan Penasihat DAP di kerusi Parlimen Gelang Patah yang menjadi tumpuan dalam pilihan raya kali ini.
PR cuba merobek kubu kuat BN dengan meletakkan Lim, jaguh DAP untuk menggalas misi itu di negeri kelahiran Umno tersebut.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang merupakan anak kelahiran Johor juga ditugaskan untuk misi sama bertanding di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Nusajaya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan